ARTIKEL SEBELUM

13/11/15

Harimau Malaya Dibelasah

Palestin vs Malaysia 6-0

KUALA LUMPUR – Misi kebangkitan yang dibawa Harimau Malaya di Amman, Jordan bagaimanapun bertukar mimpi ngeri apabila dimalukan lagi 6-0 oleh Palestin dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, semalam.

Kekalahan terbaharu ini me­ngulangi insiden malang pada 16 Jun lalu, apabila pasukan negara dibelasah oleh lawan yang sama juga 6-0 dalam perlawanan pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malah, ini kekalahan besar ketiga dialami oleh skuad Harimau Malaya dalam Kumpulan A selepas sebelum ini turut dibenam 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 3 September, kekalahan yang membawa kepada peletakan jawatan jurulatih, Dollah Salleh.

Biarpun beraksi dalam persekitaran ‘selamat’ selepas permohonan untuk bermain di stadium berkecuali diluluskan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), namun itu tetap tidak memberi sebarang kelebihan buat anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee.

“Semenangnya kami tak jangkakan dimalukan sekali lagi selepas apa yang berlaku sebelum ini (di Bukit Jalil, 16 Jun lalu). Ini me­rupakan keputusan yang buruk.

“Seperti yang saya katakan awal tadi, Palestin bermain dengan sa­ngat baik dan kita cuba untuk me­rapatkan kedudukan, namun ia semakin sukar untuk dilakukan.

“Jadi, apa yang penting sekarang, kami perlu melihat aksi seterusnya menentang UAE (17 November ini).

“Apa yang terjadi, kita perlukan perubahan. Kami harus bang­kit menentang UAE walaupun saya tahu ia agak sukar,” kata Kim Swee.

Seawal wisel sepak mula dibunyikan, pertahanan Harimau Malaya terpaksa bekerja keras bagi mengekang serangan bertali arus daripada pihak lawan, sebelum Palestin menewaskan Khairul Fahmi Che Mat dalam tempoh lapan minit untuk mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

Ketiga-tiga gol tersebut hadir ekoran kesilapan dan kurang persefahaman pertahanan skuad kebangsaan sehingga membenarkan Jonathan Zorrilla membuka jaringan pada minit ke-37.

Kesilapan pertahanan, Razman Roslan mengundang kepada gol kedua yang dijaringkan oleh Ahmed Abunahia seminit kemudian, sebelum dia menambah gol ketiga pada minit ke-45.

Tempoh 10 minit di bilik persalinan pastinya dimanfaatkan oleh Kim Swee untuk memperbaiki keadaan, namun segalanya tidak menjadi apabila Palestin hanya memerlukan masa 13 minit selepas waktu rehat bersambung untuk Ahmed Abunahia melengkapkan hatrik.

Ketika permainan berbaki dua minit, Palestin yang diberi jolokan The Redeemers sempat mengula­ngi pencapaian di Bukit Jalil pada 16 Jun lalu dengan ledakan dua gol menerusi Tamer Seyam (minit ke-88) dan Jaka Hbaisha pada waktu kecederaan.

Kekalahan ini menipiskan peluang Malaysia untuk sekurang-kurangnya menamatkan kempen Kumpulan A di tangga ketiga, biar­pun secara matematik peluang belum tertutup rapat kerana masih ada dua baki perlawanan yang perlu diharungi.

Malaysia kekal di tangga keempat dengan lima mata di belakang Palestin selepas mengutip empat mata daripada enam perlawanan.

Arab Saudi unggul di kedudukan pendahulu menerusi 13 mata, diikuti UAE dengan 10 mata selepas menewaskan pasukan ter­corot, Timor Leste 8-0 dalam satu lagi saingan semalam.

Dua pasukan teratas Kumpulan A layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2018.

Bagi beraksi dalam playoff kelayakan Piala Asia 2019, Malaysia perlu me­nempatkan diri dalam sekurang-kurangnya kedudukan empat terbaik.

Pasukan negara akan menerima kunjungan UAE dalam perlawanan di stadium kosong pada 17 November ini.

Harimau Malaya kemudian akan melengkapkan saingan Kumpulan A dengan berdepan Arab Saudi di tempat lawan pada 24 Mac, 2015.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud