ARTIKEL SEBELUM

19/11/15

Bunyi katak untuk Nizar di sidang DUN Perak

Persidangan Dewan Dewan Undangan Negeri Perak di Ipoh yang mulanya berjalan tenang tiba-tiba bertukar kecoh hari ini apabila kedengaran bunyi ‘suara katak’ daripada beberapa anggota dewan.

Keadaan ini tercetus bila Speaker dewan Datuk Seri SK Devamany memaklumkan bahawa terdapat empat parti pembangkang pada persidangan kali ini setelah ADUN Changkat Jering Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Tiga lagi parti pembangkang ialah DAP, PKR dan PAS.

Pengumuman speaker itu disambut dengan bunyi katak – melambangkan tindakan seseorang ‘melompat’ parti.

Bercakap di luar dewan kemudian, Nga Kor Ming (DAP-Kepayang) mendakwa Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir melakukan serangan peribadi terhadap Mohamad Nizar berhubung isu lompat parti.

Beliau turut menyelar anggota dewan yang mengeluarkan bunyi katak.

Dalam pengumumannya itu, Speaker berkata berikutan tindakan Mohamad Nizar itu, terdapat sedikit pertukaran tempat duduk di bahagian pembangkang.

Beliau memaklumkan demikian sebelum menangguhkan persidangan dewan sehingga esok.

Dalam pada itu, sejurus selesai pembentangan Bajet 2016 di dewan, sebilangan wakil rakyat pembangkang mengangkat plakad tertera tulisan ‘PMB milik siapa?’, ‘MB Inc is for whom?’ dan satu lagi dalam Bahasa Cina dipercayai membawa maksud sama.

Mereka menyuarakan rasa tidak puas kerana Perbadanan Menteri Besar (PMB) atau Menteri Besar Incorporated (MB Inc) tidak dimasukkan sebagai sebahagian daripada isu yang perlu dibahas pada persidangan dewan kali ini.

Pada sidang media selepas itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan tindakan pembangkang sebagai sesuatu yang sangat menjelekkan dan ‘unparliamentarian’.

Beliau berkata tindakan pembangkang itu juga bertujuan mewujudkan persepsi negatif rakyat terhadap MB Inc.

“Sepatutnya mereka perlu mempunyai sifat yang baik sebagai seorang pemimpin, apatah lagi dua orang itu (ADUN Sitiawan Datuk Ngeh Koo Ham, dan Nga) adalah juga anggota Parlimen.

“Bukan itu caranya, (mereka) seolah-olah menyamakan MB Inc dengan 1MDB (1Malaysia Development Berhad), niat mereka begitu jahat iaitu untuk mewujudkan persepsi rakyat, sama ada perkara itu betul ataupun tidak, (bagi mereka) itu adalah perkara kedua,” katanya.

Zambry berkata pembangkang membangkitkan isu MB Inc kerana ingin mengalih tumpuan rakyat terhadap isu lompat parti yang dilakukan beberapa wakil rakyat PAS termasuk Mohamad Nizar.

- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud