ARTIKEL SEBELUM

5/10/15

PAS Tetap Pertahan Kerusi Jika 3 Penjuru Dengan BN, PAN

RANTAU PANJANG: Benarkah kehadiran serpihan PAS yang kini dikenali sebagai Parti Amanah Negara (PAN) boleh memperkuatkan pakatan pembangkang?

Naib Pesiden PAS Datuk Nik Mohd Amar Abdullah mempertikaikan dakwaan itu kerana kemungkinan akan berlaku pertandingan tiga penjuru di kerusi yang ditandingi PAS.

Katanya dakwaan mereka mahu menguatkan pakatan pembangkang sekaligus menjatuhkan BN seperti tidak berasas.

"Itu dakwaan tidak betul terutama apabila calon PAN juga bertanding di kerusi ditandingi calon PAS pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

“Kehadiran tiga penjuru tentunya boleh mengurangkan kekuatan parti pembangkang," katanya kepada media selepas program Munaqasah Ucapan Dasar Presiden di Pusat Tarbiah PAS Rantau Panjang hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata calon PAS PRU14 di Kelantan belum lagi ditentukan sekarang.

Bagaimanapun tambah beliau PAS tetap mempertahankan kerusi sedia ada sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru dengan BN dan PAN.

Beliau juga menganggap sukar bagi calon PAN bertanding pada PRU14 kerana tidak mudah parti pembangkang lain memberi laluan kepada mereka.

“Ini kerana dipercayai DAP tidak akan memberi laluan di kerusi ditandingi mereka sebelum ini. Begitu juga PKR.

"Jadi akhirnya PAN akan bertanding di kerusi dimiliki PAS. Kita sentiasa bersedia untuk menghadapi realiti itu," ujarnya.

Menurutnya juga keahlian PAS bertambah secara mendadak dalam tempoh setahun dengan kemasukan ahli baru yang begitu memberangsangkan.

Kata beliau setiap program yang dianjurkan PAS menerima permohonan keahlian baru yang begitu ramai.

“Ertinya walaupun ada bekas pemimpin PAS menubuh parti baru kesan daripada muktamar PAS baru-baru ini, namun ia tidak memberi kesan besar,” ujarnya. -

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud