ARTIKEL SEBELUM

10/09/15

PKR tetap mahukan Pas dalam PR 2.0

SHAH ALAM - PKR tetap dengan pendiriannya untuk terus bekerjasama dan menyokong penyertaan Pas dalam gabungan parti pembangkang yang baharu, kata Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, ia adalah pendirian rasmi PKR yang sentiasa terbuka untuk bekerjasama serta menerima mana-mana parti politik yang mahu melakukan perubahan di dalam negara dan bukannya pendirian peribadi beliau seperti yang disangka sesetengah pihak.

"Perkara ini telah dijelaskan oleh dua Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua hari ini bahawa ia adalah keputusan parti untuk terus kekal bekerjasama dengan Pas. PKR juga mahu Pas turut serta dalam pakatan pembangkang yang baharu.



"Malah ada kenyataan daripada pemimpin Parti Amanah Negara (parti politik yang sedang dalam proses didaftar) seperti Salahuddin Ayub dan Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu bahawa parti itu terbuka untuk berbincang bersama Pas bagi membentuk pakatan berkenaan," kata Menteri Besar Selangor itu kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan beberapa pemimpin DAP, antaranya setiausaha agungnya Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang mahu beliau membuat keputusan sama ada memilih untuk bersama Pas atau DAP.

DAP berpendirian untuk tidak bekerjasama dengan Pas serta tidak mahu parti Islam itu dalam pakatan pembangkang yang baharu.

[ARTIKEL BERKAITAN: DAP tidak akan berbaik dengan Pas]

DAP sebelum ini mengumumkan tidak lagi akan bekerjasama dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan keputusan parti itu untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Berikutan itu, Pas dalam muktamar tahunannya pada Jun lepas meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP sambil terus kekal dalam gabungan pembangkang, keputusan yang membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud