ARTIKEL SEBELUM

10/06/15

Tunggu arahan Pas Pusat sebelum lepas jawatan

GEORGETOWN - Empat pemimpin Pas yang menjadi ​Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tidak akan meletak jawatan sehingga ​menerima ​surat rasmi ​yang ​dikeluarkan pimpinan Pas Pusat.

Ahli Majlis MBPP, Mhd Nasir Yahya berkata, sehingga semalam masih tidak menerima sebarang arahan dari pimpinan tertinggi parti untuk meletak jawatan atau sebaliknya.

​Beliau yang juga Koordinator Markas Induk Pas Kawasan Bukit Gelugor berkata, setakat ini belum ​menerima apa-apa (arahan) lagi.

​"​Saya perlu tunggu arahan kerana pelantikan dibuat oleh parti.

“Buat masa ini, saya tidak boleh memberi sebarang komen. ​Bagaimanapun, saya bersedia untuk meletak jawatan ​jika Pas Pusat mahu saya berbuat demikian,” katanya.

Ahli Majlis MPSP, Omar Hassan ​yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Permatang Pauh ​bersedia mengosongkan jawatan jika menerima arahan untuk berbuat demikian.

“Saya akan akur apa sahaja arahan dari parti. Saya tidak akan teragak-agak untuk meletak jawatan ​jika itu keputusannya.

“Sehingga kini, saya belum terima surat rasmi atau arahan secara lisan untuk berbuat demikian​. Oleh itu, tunggu sajalah,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kawasan​ Tanjong, Yaacob Omar yang juga Ahli Majlis MBPP akan menunggu arahan Pas Pusat dan meminta semua pihak bertenang.

Menurutnya, Ketua Menteri, Lim Guan Eng juga diminta supaya tidak cepat memberi tindak balas kerana keputusan belum dibuat dalam Majlis Syura Ulama.

“Saya tidak boleh komen, semuanya bergantung kepada pucuk pimpinan, cuma saya mohon semua pihak bertenang. Jangan terlalu ‘over’, cepat bertindak balas.

“Saya mohon agar Guan Eng berhenti dari buat kenyataan kontroversi kerana ia akan mengeruhkan keadaan. Malah dari maklum balas yang diterima, masyarakat kaum lain pun tidak setuju dengan cara Guan Eng menangani masalah ini,” katanya.

Ahli Majlis MPSP, Dahalan Fazil berkata, Guan Eng perlu lebih tenang dan tidak kelam kabut dalam menangani masalah i​tu.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas ​Kawasan ​Kepala Batas berkata, apa yang penting, semua pihak perlu menunggu keputusan MSU sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Mesyuarat Majlis Syura dijangka diadakan esok (hari ini). Oleh itu, sama-sama kita tunggu. Saya jadi ​ahli ​majlis kerana dilantik parti, oleh demikian, saya akan letak jawatan pun berdasarkan arahan parti.

“Saya harap semua ​pihak ​bertenang dan tidak kelam kabut termasuk ​ketua ​menteri,” katanya.

Sementara itu, dua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) iaitu Tanjung Bungah, Azahar Hashim dan Kampung Makam, Muhammad Imran Muhammad Sa’ad bersedia meletak jawatan​ jika diarah Pas Pusat.

​Ba​ga​imanapun, mereka​ berkata​, mesyuarat peringkat JKKK belum diadakan lagi bagi membincangkan perkara itu.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud