ARTIKEL SEBELUM

22/03/15

Umno sokong hudud hanya untuk pecahbelah Pakatan, kata penganalisis

Satu-satunya tujuan Umno menyokong hudud sekarang ialah untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat (PR), menurut penganalisis politik yang mengatakan, apabila rang undang-undang itu sampai ke Parlimen, soal mengundi untuknya tidak penting kerana kerosakan sudah pun terjadi.

Mereka menolak dakwaan ahli Parlimen Umno yang menyokong hudud penting bagi memenuhi ajaran Islam, dengan mengatakan apabila tiba masanya, parti itu mungkin tidak akan menyokong rang undang-undang itu kerana ia mengundang risiko kemarahan sekutu mereka di Sabah dan Sarawak.

"Tujuan Umno menyokong rancangan hudud ialah untuk memecahkan PR. Dengan pembentangan rang undang-undang hudud di Kelantan, PR sudah di ambang kemusnahan," kata Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Politik, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

"PR tidak boleh diteruskan jika PAS berkeras menghidupkan semula agenda hudud. Jadi, jika PR musnah sebelum pembentangan usul itu di Parlimen, Umno boleh senang lenang tidak menyokong rang undang-undang itu bagi memastikan BN tidak terjejas."

Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, sokongan Umno terhadap hudud mungkin merupakan satu pembohongan, terutamanya memandangkan langkah itu tidak akan diterima baik oleh BN Sabah dan Sarawak.

Katanya, kemusnahan pakatan pembangkang merupakan peluang terbaik Barisan Nasional (BN) untuk terus hidup, susulan tekanan yang diterima akibat pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan cabaran yang dihadapi kepimpinan Perdana Menteri.

"Menariknya, pemimpin kanan PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Haron Din terpedaya dengan rancangan bijak BN memecahbelahkan pembangkang, tanpa menyedari PAS yang akan rugi besar apabila pengundi bukan Islam menolak mereka, menyebabkan ia hilang semua kerusinya di Semenanjung.

"Saya setuju yang BN Sabah dan Sarawak tidak akan setuju dengan hudud kerana ia akan melemahkan kedudukan mereka sendiri," kata Ibrahim kepada The Malaysian Insider.

Dr Lim Teck Ghee, pengarah Pusat Kajian Dasar, juga bersetuju, sambil mengambil maklum yang masyarakat Kristian dan bukan Islam di Malaysia Timur mempunyai pegangan yang besar dari segi kebebasan beragama di negara ini.

"Tidak diketahui ramai yang Sabah dan Sarawak mempunyai jumlah penduduk bukan Islam yang besar yang undian mereka boleh menentukan gabungan parti mana yang akan memenangi kuasa di peringkat persekutuan, terutamanya ketika pilihan raya umum dengan persaingan sengit.

"Dan bukan orang bukan Islam sahaja yang bimbang dengan kes pencerobohan terhadap isu agama dan kebebasan sivil lain," kata Lim.

Bagaimanapun, Faisal berkata, sekiranya Umno mengundi menyokong rang undang-undang itu di Parlimen kelak, ia tidak akan membawa kepada perpecahan dalam Barisan Nasional (BN).

"Sabah ditadbir Umno, manakala Sarawak ditadbir sebuah parti yang dikuasai Bumiputera Islam. Umno ialah parti yang sangat dominan hinggakan parti BN yang lebih kecil tidak akan berani menarik diri daripada gabungan itu.

"Melalui naungan atau malah ancaman, gabungan itu boleh kekal," kata Faisal.

Hadi memohon membentangkan rang undang-undang persendirian itu di Parlimen ketika sesi Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang hingga 9 April, bagi membolehkan Kelantan menguatkuasakan undang-undang hudud, walaupun terdapat bantahan daripada PKR dan DAP.

Rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, yang mengehadkan kuasa mahkamah Syariah kepada denda maksimum RM3,000, lima tahun penjara dan enam kali sebatan.

Satu pindaan diperlukan terhadap akta ini bagi membolehkan pindaan hudud Kelantan itu dikuatkuasakan. Bagaimanapun, sekutu PAS dalam PR berkata, hudud bukan sebahagian daripada pendirian bersama pakatan itu dan ia lantang bersuara menentang.

DAP akan bermesyuarat pada Isnin bagi mengkaji semula hubungannya dengan PR, selepas merasakan “dikhianati” PAS apabila Dewan Undangan Negeri Kelantan membentangkan dan meluluskan pindaan kepada enakmen itu minggu lalu.

PKR hari ini mengumumkan ia tidak akan menyokong rang undang-undang hudud PAS itu sekiranya ia dibentangkan di Parlimen, mengatakan parti Islam itu bertindak secara unilateral dalam hal itu dan membelakangkan keputusan Majlis Pimpinan PR.-TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud