ARTIKEL SEBELUM

17/08/14

Pakatan akhirnya terima Azizah calon tunggal

 

Pakatan Rakyat akhirnya memutuskan untuk mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail sahaja sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Perkara itu baru diputuskan dalam mesyuarat majlis presiden PKR, DAP dan PAS di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor sebentar tadi.

"Majlis Pimpinan (Pakatan) juga mengambil maklum dan menghargai pencalonan Wan Azizah dan Azmin Ali untuk jawatan senteri besar.

"Bagaimanapun Azmin menegaskan bahawa beliau kekal menyokong keputusan PKR untuk menamakan Wan Azizah sebagai calon menteri besar baru Selangor," kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media sebentar tadi.

Mesyuarat PKR sebelum itu telah memutuskan untuk tetap menyokong Wan Azizah seperti yang diputuskan parti 21 Julai lalu.

PAS pada tengah hari telah meminta satu lagi nama iaitu Azmin untuk dicalonkan sebagai menteri besar bersama Wan Azizah.

Justeru Anwar berkata PKR akan meneruskan proses memohon menghadap sultan Selangor untuk mempersembahkan keputusan itu kepada baginda secepat mungkin.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata PAS akur dengan keputusan itu selepas Azmin bersetuju mengikut keputusan parti.

"Dua calon dah ada di sini dan selepas mesyuarat tadi Azmin hormati keputusan partinya," kata Mohamad ringkas.

Azmin: Parti lebih penting

Sementara itu, Azmin ketika ditemui media menegaskan partinya dan Pakatan lebih penting berbanding siapa yang menjadi menteri besar.

"Bagi saya, parti diutamakan. Saya beritahu rakan sejawat saya (dalam mesyuarat) kita mesti bekerja sedaya upaya untuk Pakatan.

"Saya amat percaya selepas krisis ini Pakatan dan PKR akan bertambah kuat," kata beliau.

Azmin (atas) turut menafikan khabar angin beliau bertegas mahukan jawatan itu.- Mkini

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud