ARTIKEL SEBELUM

9/08/14

Nik Aziz tidak sokong keputusan ulama PAS kekalkan Khalid sebagai MB Selangor ?

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan beliau tidak terlibat dalam keputusan Majlis Syura parti itu untuk mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor, menyukarkan lagi untuk memahami pendirian parti Islam itu dalam kemelut ini.

Bekas menteri besar Kelantan itu mengatakan beliau meninggalkan mesyuarat itu selepas 30 minit ia bermula kerana berasa tidak sihat.

"Saya hadir sekejap sahaja. Belum sampai keputusan, saya keluar. Setiausaha Majlis Syura datang ke rumah saya selepas Maghrib terangkan keputusannya," kata Nik Aziz kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka PAS Kota Baru pada Khamis, memberikan indikasi beliau tidak terlibat memberikan pandangannya berhubung isu ini dalam mesyuarat tersebut.Secara kebetulan, komen Nik Aziz ini pada hari sama Majlis Syura mengeluarkan kenyataan pada Khamis, tetapi pandangannya tentang isu ini terlepas pandang oleh media.

Bagaimanapun, klip audio percakapan Nik Aziz dalam isu ini tersebar dalam laman sosial YouTube dan beberapa blog .

Nik Aziz menambah, beliau tidak mahu campur dalam pergolakan politik Selangor yang dilihat mampu memecahkan gabungan Pakatan Rakyat (PR).

“Politik Selangor itu, saya sebut sudah hari itu, Kelantan lagi saya beri pada orang lain usahkan hendak ganggu Selangor pula. Kelantan yang saya buat macam anak sendiri, Kelantan saya jaga macam jaga anak pun saya beri pada orang lain. Ini hendak jaga Selangor buat apa. Orang Selangor pandailah hendak jaga Selangor,” beliau dipetik sebagai berkata pada Khamis.

Oleh kerana kenyataan Majlis Syura dikeluarkan pada masa sama, ramai beranggapan beliau bersetuju dengan keputusan badan itu.

Semalam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan PKR tidak terikat dengan keputusan Majlis Syura PAS dan mengatakan mereka tidak mempunyai fakta sebenar mengenai isu itu.

“PAS tidak boleh buat keputusan bagi pihak PKR. Sebagai solidariti dengan Pakatan Rakyat, kita hormat keputusan mereka,” kata Anwar kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

PKR sebelum ini mengatakan mereka mahu presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar, tetapi pemimpin kanan PAS menyokong Khalid secara terbuka.

PAS kini menangguhkan mesyuaratnya pada 17 Ogos untuk menentukan sama ada menyokong atau tidak Dr Wan Azizah menggantikan Khalid, seminggu selepas tarikh asal untuk membincangkan perkara itu.

Pimpinan PKR akan bertemu hari ini mengenai perkembangan terbaru isu itu sementara DAP akan bermesyuarat esok berhubung isu ini, sebelum mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada Ahad.

PKR juga sepatutnya mengadakan mesyuarat Lembaga Disiplin dengan Khalid petang ini, tetapi menteri besar Selangor itu meminta agar mesyuarat ditangguhkan kepada 15 Ogos untuk memberi penjelasan mengapa beliau harus kekal sehingga pilihan raya akan datang.

Gabungan PR mempunyai 44 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan DAP dan PAS mempunyai 15 dan PKR 14.

12 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno secara mengejutkan mahu Khalid kekal mentadbir negeri terkaya itu.- TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud