ARTIKEL SEBELUM

17/08/14

Mesyuarat paling penting berlangsung hari ni

Parti PAS 

BAHANGNYA sudah dirasai sejak minggu lepas, dan semakin memuncak menjelang beberapa hari lalu.

Hari ini, mesyuarat paling penting sejak penubuhan PR akan berlangsung, menentukan hala tuju pakatan itu yang sudah berdiri teguh bersama sejak pilihan raya umum 2008.

Bukan hanya untuk isu kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bergantung kepada sokongan Pas, tetapi Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat hari ini akan turut menentukan kedudukan PR di peringkat nasional.

Dalam mesyuarat itu, Pas akan membincangkan dan seterusnya menyatakan pendirian berkenaan sokongan terhadap Abdul Khalid ataupun tidak.

Pas juga akan membuat keputusan sama ada menyokong keputusan PKR dan DAP untuk meletakkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Abdul Khalid atau sebaliknya.

Jika Pas tidak bersetuju dengan Dr Wan Azizah, dan lebih dramatik lagi, jika Abdul Khalid menyertai Pas dan parti itu bertegas mahu beliau dikekalkan, ia mungkin membawa kepada keretakan lebih teruk dalam pakatan itu.

Namun, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub semalam seolah-olah memberi gambaran keputusan yang akan dicapai dalam mesyuarat hari ini akan membawa berita baik kepada Pas dan PR.

“Dalam isu di Selangor walau apa pun cabaran kita akan selesaikan esok dengan baik,” katanya ketika ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Kelantan, semalam.

Beberapa ahli Jawatankuasa Pas Pusat juga melahirkan harapan agar mesyuarat hari ini dapat menyelesaikan isu kepimpinan di Selangor dengan baik.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, semua pimpinan dan ahli Pas perlu menerima keputusan hari ini sebulat suara.

“Semoga mesyuarat berjalan dengan lancar dan keputusan yang diperoleh akan dipersetujui dengan baik oleh semua pihak.

“Kita harap tiada yang akan mempertikaikan keputusan mesyuarat esok (hari ini),” katanya, semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli berkata, keputusan mesyuarat yang akan dihadiri semua pimpinan parti itu diharapkan dapat mencapai kesepakatan untuk memilih calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

“Jika ada keperluan untuk ganti Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor, saya percaya ia akan dibincangkan dengan muafakat.

“Apa yang penting, keputusan mesyuarat esok nanti dapat kekalkan keharmonian PR,” katanya.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar pula berharap agar rakyat Selangor membuat solat hajat bagi memohon penyelesaian kemelut di negeri itu.

“Lakukan solat hajat kerana ia usaha terbaik untuk selesaikan masalah di Selangor. Mengenai mesyuarat Pas Pusat, kita tunggu saja keputusannya nanti.

“Namun, tidak kira apa saja keputusan yang bakal dibuat, kita harapkan yang terbaik untuk Pas dan juga PR,” katanya.

Apapun, keputusan mesyuarat ini nanti sudah pasti memberi kesan kepada perjalanan politik negara, semoga Pas membuat keputusan terbaik.- sh

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud