ARTIKEL SEBELUM

10/03/14

Di manakah pesawat MH370 dan lain-lain persoalan?

Pencarian di udara dan laut terus dibuat untuk hari ketiga pagi ini ke atas kapal terbang MH370 di samping pelbagai persoalan terus menyelubungi kedudukan dan identiti sebahagian penumpang di atas pesawat Boeng 777-200ER yang hilang pagi Sabtu lalu.

Pihak berkuasa Vietnam menemui suatu objek yang dipercayai pintu bahagian dalam jet yang berumur 11 tahun itu sekitar 50 batu selatan barat daya pulau Tho Chu, Vietnam.

Pihak berkuasa Malaysia juga menemui tumpahan minyak kira-kira 20 batu nautika dari kedudukan terakhir MH370 sebelum ia hilang daripada skrin radar tanpa sebarang panggilan kecemasan atau isyarat.Siasatan rasmi ke atas kehilangan pesawat milik Malaysia Airline (MAS), MH370 dengan 239 penumpang termasuk 12 anak kapal di atas kapal itu kini difokuskan ke atas kemungkinan ia pecah di pertengahan penerbangan.

Jet syarikat penerbangan Malaysia itu hilang selepas mendaki pada ketinggian 35,000 kaki antara Kuala Lumpur dan Beijing pada awal pagi Sabtu, tetapi pasukan pencari tidak menemui apa-apa puing yang disahkan sebagai rangka selepas 48 jam ia berlepas.

"Hakikat bahawa kami tidak dapat menemui apa-apa serpihan setakat ini nampaknya menunjukkan bahawa pesawat itu mungkin hancur pada ketinggian kira-kira 35,000 kaki," kata seorang pegawai yang terlibat dalam siasatan itu.

Jika jet penumpang itu menjunam dalam keadaan utuh dari ketinggian dimaksudkan dan hanya pecah apabila melanggar air, pasukan pencari dijangka akan menemui puing-puingnya dalam keadaan yang agak terkumpul, kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan.

Walaupun 40 kapal dan 22 pesawat meneroka Laut China Selatan dan Selat Melaka bagi mencari kapal terbang itu, pelbagai persoalan lain tertumpu kepada beberapa penumpang penerbangan Kuala Lumpur-Beijing itu.

Sekurang-kurangnya lima penumpang pesawat itu menaikinya dengan menggunakan dokumen meragukan, sekurang-kurangnya dua daripada mereka menggunakan pasport yang dicuri di pulau percutian Thailand, Phuket.

Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa juga dikenali sebagai Interpol, mengesahkan bahawa dua pasport berkenaan direkodkan sebagai hilang atau dicuri di pangkalan datanya, digunakan oleh penumpang penerbangan MH370 yang hilang itu.

"Walaupun terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai sebarang hubungan antara pasport yang dicuri dan kapal terbang yang hilang, ia jelas membimbangkan bahawa ada penumpang dapat menaiki penerbangan antarabangsa menggunakan pasport curi yang disenaraikan dalam pangkalan data Interpol," Setiausaha Agung Interpol, Ronald Noble berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Ahad.- TMI

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud