ARTIKEL SEBELUM

31/12/13

10,000 bantah TNB naikkan tarif elektrik

 

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan hari ini menghantar memorandum kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membantah kenaikan tarif elektrik bermula tahun 2014.

Memorandum itu yang turut disertakan dengan kira-kira 10,000 tandatangan, diserahkan oleh ketua pemudanya, Khairil Nizam Khirudin kepada wakil TNB di ibu pejabat syarikat tersebut di Bangsar, tengahari.

Menurut Khairil, tandatangan pengguna yang membantah itu berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua minggu selepas kempen 'Bantahan kenaikan tarif elektrik' menerusi laman Facebook dilancarkan pergerakan itu.

"Memorandum yang kita hantar kepada TNB memberikan isyarat kepada kerajaan supaya tangguhkan kenaikan tarif elektrik sekaligus mengkaji semula penstrukturan industri tenaga domestik di negara ini.

"Kita juga menuntut kerajaan mendedahkan rezab kapasiti eletrik yang sedia ada untuk mengelakkan pembayaran yang tidak adil antara TNB dan penjana tenaga bebas (IPP)," kata Khairil kepada Malaysiakini.

Memorandum tersebut diterima bagi pihak TNB adalah pengurus besar komunikasi korporat syarikat tersebut, Omar Sidek.

Menurut Khairil, memorandum yang sama akan dihantar ke pejabat Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Putrajaya, jam 3 petang ini.

Beliau turut menyeru orang ramai agar memeriahkan perhimpunan memprotes kenaikan harga barang di Dataran Merdeka malam ini dengan memakai pakaian berwarna oren bagi menyatakan bantahan kenaikan tarif elektrik.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili pada 2 Disember lalu mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 15 peratus di semenanjung dan 17 peratus di Sabah dan Sarawak bermula 1 Januari 2014.

Kenaikan itu adalah sebahagian daripada siri kenaikan harga barang termasuklah harga gula, petrol dan diesel, kadar tol, tambang teksi, bas dan kereta api.- Mkini

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud