ARTIKEL SEBELUM

28/09/13

Azizan individu ke-11 bersemadi di Muasassah

 Azizan individu ke-11 bersemadi di Muasassah

ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak merupakan individu ke-11 yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Muasassah Darul Ulum, Pokok Sena, dekat sini.

Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, tanah perkuburan itu dikhaskan sebagai kubur bagi pemimpin Pas Kedah yang banyak berjasa khususnya dalam membangunkan Muasassah Darul Ulum itu sendiri.

Menurutnya, sebagai Pengerusi Muasassah, Azizan sangat menitikberatkan pembangunan Muasassah sebagai pusat pengajianIslam.

“Sememangnya tanah perkuburan di Muasassah dikhaskan sebagai kubur tokoh-tokoh pimpinan Pas dan mereka yang mempunyai hubungan rapat dalam usaha mengasaskan institusi pengajian itu.

“Antara pemimpin Pas Kedah yang dikebumikan di situ adalah Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dan Ustaz Mohamad Shauki Ibrahim (bekas Adun Langar), yang lain saya tidak pasti, ada juga orang biasa. Kini di kawasan Muasassah sudah wujud perkampungan dan ada tanah perkuburan yang lain,” katanya.

Mengulas lanjut pemergian tokoh politik Pas Kedah itu, Amiruddin berkata, barisan Adun Kedah sememangnya merasai ketiadaan Azizan di sidang Dun sejak beliau jatuh sakit.

“Adalah sesuatu yang tidak dijangka, sebaik sahaja selesai PRU13 lalu, Azizan jatuh sakit dan tidak berupaya untuk hadir ke sidang Dun.

“Ketegasan beliau berhujah selama menjadi ketua pembangkang dan cara beri keterangan sebagai ketua kerajaan negeri dalam sidang Dun pastinya menjadi kenangan,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan, Azizan meninggalkan wasiat supaya jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Muasassah Darul Ulum berhampiran pusara bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Azizan menyuarakan hasrat supaya jasad beliau disemadikan di sebelah pusara Allahyarham Fadzil Noor iaitu rakan karibnya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud