ARTIKEL SEBELUM

23/08/13

lelaki pecah masuk rumah Tan Sri Isa Samad



NILAI: Empat lelaki bersenjata parang memecah masuk rumah Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan mengikat lima anggota keluarga ahli politik berkenaan dalam kejadian di Nilai Springs Villa, di sini awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, tiga lelaki terbabit memasuki banglo itu ketika anggota keluarga Mohd Isa iaitu dua anak perempuannya, seorang menantu lelaki, seorang cucu dan anak saudara selain seorang pembantu rumah sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Yusoff Awang berkata ketika kejadian Mohd Isa dan isteri berada di sebuah lagi kediaman beliau di Seremban, dekat sini.

"Ketika semua mangsa sedang nyenyak tidur dalam bilik masing-masing tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai rakyat asing.

"Kesemua mangsa termasuk seorang pembantu rumah yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an dikumpul dalam sebuah bilik dan diikat oleh penjenayah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki terbabit kemudian menggeladah kediaman itu dan melarikan empat telefon bimbit serta dua peti besi yang mengandungi barang kemas serta jam berjenama milik ahli politik itu yang dianggar bernilai ribuan ringgit.

Katanya siasatan awal mendapati penjenayah memecah masuk kediaman itu melalui pagar belakang dan bertindak mengacukan parang terhadap seorang anggota polis bantuan yang berada di pondok pengawal di hadapan rumah itu dan mengikatnya.
"Seorang daripada suspek mengawal anggota polis bantuan itu manakala tiga lagi suspek masuk ke rumah mangsa selepas mengumpil tingkap rumah di bahagian belakang," katanya.

Mohd Yusoff berkata semua mangsa berjaya melepaskan diri dengan bantuan seorang anggota polis bantuan lain yang tiba selepas semua suspek beredar.

Jumlah kerugian sedang ditafsir oleh mangsa dan pihak polis sedang memburu semua suspek terlibat, katanya yang meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Mohd Isa dan anggota keluarganya enggan ditemui pemberita kerana masih trauma dengan kejadian itu. - BERNAMA

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud