ARTIKEL SEBELUM

23/08/13

Ahmad Zahid tegur P. Waytha Moorthy



PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P.Waytha Moorthy supaya tidak mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan dasar yang ditentukan kerajaan.

Beliau mengulas tindakan Waytha Moorthy mempersoal penjelasan polis bahawa lima penjenayah yang ditembak mati di Pulau Pinang baru-baru ini terbunuh dalam insiden tembak menembak dengan polis.

Waytha Moorthy dilaporkan akhbar sebagai berkata beliau tidak percaya berlaku tembak menembak antara pasukan polis dengan suspek, sebaliknya mencadangkan mereka ditembak pada jarak dekat.

Ahmad Zahid berkata sebagai seorang anggota pentadbiran kerajaan, Waytha Moorthy perlu mengetahui bahawa sebarang kenyataan yang dikeluarkan, tidak boleh bercanggah dengan dasar yang ditentukan oleh kerajaan.

"Beliau (Waytha Moorthy) jangan ingat yang beliau masih pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), beliau bukan (berfikir sebagai) pemimpin Hindraf lagi, jangan campur tangan kerja polis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam insiden itu polis menembak mati lima anggota kumpulan kongsi gelap dipercayai pembunuh upahan yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.

Ahmad Zahid berkata apa yang berlaku dalam insiden itu adalah tugas polis biarlah polis buat kerja kerana mereka lebih arif.

Mengenai status filem 'New Village' yang masih belum menerima sebarang keputusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF), Ahmad Zahid berkata buat masa ini beliau belum menerima sebarang maklum balas daripada LPF.

Filem itu mengundang kontroversi umum apabila didakwa cuba mengagung-agungkan komunis secara tersirat sehingga beberapa badan bukan kerajaan dan parti politik menuntut filem itu ditarik balik atau diharamkan. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud