ARTIKEL SEBELUM

6/07/13

SPR tak boleh campur jika Dun tergantung

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh campur tangan sekiranya Dewan Undangan Negeri Terengganu tergantung selepas pilihan raya kecil Dun Kuala Besut pada 24 Julai nanti.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sekiranya berlaku Dun tergantung, wakil kedua-dua parti harus berbincang sesama sendiri.

"Sekiranya ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah, sultan boleh campur tangan dan sekiranya masih gagal, satu lagi pilihan raya negeri terpaksa diadakan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Barisan Nasional (BN) menguasai 17 daripada 32 kerusi Dun Terengganu manakala pakatan pembangkang memenangi 15 kerusi (Pas 14 dan PKR satu).

Berikutan kematian anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Besut Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN, pilihan raya kecil akan diadakan pada 24 Julai ini dan BN kini hanya menguasai 16 kerusi.

Sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya kecil ini, kedudukan jumlah kerusi yang dikuasai kedua-dua pihak ialah 16-16.

Sehubungan itu, Abdul Aziz berkata SPR akan mengkaji semula persempadanan Dun dan parlimen yang mempunyai kerusi angka genap agar dijadikan angka ganjil.

"Perkara itu akan dipertimbangkan dalam proses persempadanan semula nanti," katanya.

Mengenai dakwat kekal, Abdul Aziz berkata ia tetap akan digunakan pada pilihan raya kecil itu namun dakwatnya sedikit berbeza daripada yang digunakan pada pilihan raya umum lepas.

"Dakwat kali ini akan mempunyai kandungan silver nitrate yang lebih tinggi untuk memastikan ia akan kekal lebih lama dan ditempah daripada pembekal yang berbeza, " katanya.

Mengulas mengenai tarikh pilihan raya kecil Dun Kuala Besut pada Ramadan, Abdul Aziz berkata SPR tidak mempunyai masalah mengendalikannya kerana sebelum ini terdapat dua pilihan raya diadakan semasa bulan puasa iaitu di Permatang Pasir, Pulau Pinang dan Lunas, Kedah.

"Kita tidak mahu kekosongan terlalu lama untuk mengadakan pilihan raya dan kempen tidak rasmi terlalu panjang. Kita dah bincang mengenainya dan ia bukan benda baharu bagi SPR," katanya.

Abdul Aziz berkata sepuluh orang masing-masing dari Majlis Belia Negara dan Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi akan menjadi pemerhati dalam pilihan raya kecil ini. - Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud