KUALA LUMPUR: Puluhan ribu berhimpun dalam perhimpunan Janji Bersih dan ambang Kemerdekaan di perkarangan DBKL, Kuala Lumpur dan juga di Stadium Shah Alam
Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, Datuk A Samad Said, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Fuziah Salleh dan lain-lain pemimpin Pakatan berada di Dataran DBKL berhampiran Dataran Merdeka.
Di Stadium Shah Alam pula, para pemimpin Pakatan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di sana.
"Semangat kemerdekaan tidak berhenti dengan perarakan sahaja tetapi harus mampu menimbulkan kecintaan kepada negara.
"Pengorbanan dan sumbangan tentera dan polis serta rakyat menentang komunis dan penjajahan perlu mendapat dokongan semua," kata Anwar dalam ucapannya.
Jumlah kehadiran agar besar di sebalik larangan pihak polis agar tidak berkumpul di Dataran Merdeka kerana tiada kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Sekitar jam 11.30 malam, Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said mendeklamasikan sajak "Janji Demokrasi" di Dataran DBKL.
Dalam laman sosial Facebook petang tadi, Samad antara lain berkata:
"Kerana terbayang wujudnya flipa-flopan,
"jika tak dimungkin di dataran larangan,
"berdirilah di mana-mana bumi Tuhan,
"Janji Demokrasi" tetaplah dilaungkan!"
Himpunan yang serupa juga diadakan di beberapa bandar utama yang lain termasuk di Ipoh.