ARTIKEL SEBELUM

30/08/12

Ketua Polis pun tak selamat !!!

BESUT – Nampaknya penjenayah di daerah ini semakin berani apabila kenderaan milik Ketua Polis Balai Polis Kampung Raja turut menjadi sasaran.

Dalam kejadian itu, motosikal klasik jenis Vespa Spring warna biru metalik milik Inspektor Abdullah Che Soh disedari hilang di garaj hadapan rumah pegawai polis itu di rumahnya dekat Kampung Amer di sini pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, Abdullah menyedari motosikal tersebut hilang di depan rumahnya pada 5.30 pagi dan mendapati pintu pagar rumah terbuka serta ada kesan umpil.

Menurutnya, kali terakhir Abdullah melihat motosikalnya pada jam 11.55 malam sebelumnya di garaj hadapan rumahnya sebaik pulang bercuti kerana kenduri kahwin anaknya di Pasir Mas, Kelantan.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek dan motosikal tersebut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 37A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal,” katanya.

Sementara itu Abdullah ketika dihubungi memberitahu motosikal tersebut digunakannya sejak 1987 lagi.

Menurutnya, motosikal tersebut meninggalkan pelbagai nostalgia kepadanya dan selepas dibaik pulih beliau gunakan motosikal tersebut untuk bersiar-siar di sekitar rumahnya.

“Dulu motosikal itu buruk sikit tetapi baru-baru ini saya cat baru dan akibat kecurian ini saya rugi M5,000 kerana ia motosikal klasik,” katanya sambil berseloroh mengatakan penjenayah ingin mengujinya sebagai Ketua Polis Balai Kampung Raja yang baru.

Dalam perkembangan lain sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah dan Balai Polis Kuala Besut telah menahan dua lelaki kerana memiliki pelbagai jenis dadah.

Dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Alor Pisang pada jam 5.10 petang, kelmarin dua lelaki berusia 21 dan 28 tahun ditahan dan pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu polis menemui tiga botol plastik bertudung berisi serbuk disyaki dadah, 12 tiub straw heroin dan 12 biji pil methamphetamine (pil kuda).

Kamaruddin berkata, saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati positif dadah.

Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(a) (1) akta yang sama.-Sinar Harian

Vespa ketua balai dicuri


posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud