PUTRAJAYA - Wanita yang terlibat dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) awal Julai lalu memakai topeng 'Power Rangers' warna merah bagi mengelak wajahnya dirakam media selepas selesai sebutan kesnya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Muhdalena Ahmad dilihat hadir ke mahkamah berbaju dan bertudung merah, ditemani bapanya, sempat menunjukkan isyarat keamanan ketika wajahnya cuba dirakam media.
Pada prosiding hari ini, mahkamah mengarahkan wanita itu, melantik peguam secepat mungkin.
Hakim Mohd Kafli Che Ali berkata, mahkamah memberi tempoh dalam masa satu bulan untuk dia melantik peguam supaya semua isu berkaitan dokumen-dokumen kes itu boleh diselesaikan sebelum tarikh bicara ditetapkan.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 12 September depan untuk pengurusan kes berkenaan.Menurutnya, terdapat pindaan dalam kanun prosedur jenayah yang menyatakan, kes perbicaraan perlu dilaksanakan dalam tempoh 90 hari dari tarikh didakwa.
Pada 19 Julai lalu, Muhdalena Ahmad, 28, mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan iaitu mengugut polis dan membawa pedang.Prosiding pendakwaan ketika itu terpaksa dijalankan di Hospital Putrajaya kerana dia sedang dirawat selepas cedera dalam kejadian amuk berkenaan.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota polis Ridzuan Megat Ahmad manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa membawa sebilah pedang.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kompleks B, JPM, Presint 1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lalu.
Kesalahan pertama didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dia diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Pada kejadian tersebut, dia bersama dengan Khalil Afandi Hamid, 47, mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya kira-kira jam 2.30 petang, namun Khalil mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari, manakala Muhdalena turut terkena tembakan di paha kanan.- SH