Bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap 13 hakim Mahkamah Persekutuan tidak akan mendengar permohonan semakan semula sabitan kes liwatnya dan hukuman penjara lima tahunnya itu pada Rabu ini.
Peguamnya, Latheefa Koya memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya telah menghantar surat kepada Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini melalui tangan dan faks bagi memaklumkan permintaan Anwar.
Surat itu dihantar oleh firma Daim & Gamany.
"Anwar memohon supaya 13 hakim yang pernah mendengar merit dalam sabitan dan hukumannya dikecualikan daripada panel yang dijadual mendengar semakan itu pada Rabu ini," katanya.
Bagaimanapun, hakim-hakim itu tidak dinamakan dalam surat berkenaan. Ketika ini, terdapat 15 hakim yang mendengar kes di mahkamah tertinggi di negara ini.
Lima hakim yang mengekalkan sabitan dan hukuman Anwar pada Februari tahun lalu pastinya tidak boleh menganggotai panel Rabu ini.
Mereka terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif.
Hakim lain adalah hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ramly Ali.
Abdull Hamid bersara awal tahun ini.
Anwar memohon semakan terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya berhubung kes liwat II dan awal tahun ini dan panel lima anggota yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menolak permohonan bekas ketua pembangkang itu untuk memanggil bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Ramli Yusof.
Hakim lain yang bersidang sama adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Balia Yusof Wahi dan Datuk Aziah Ali, pula pernah mendengar rayuan pihak pendakwaan yang membawa kepada sabitan Anwar di Mahkamah Rayuan dua tahun lalu, manakala seorang lagi hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azahar Mohamed adalah sebahagian daripada pasukan pendakwaan dalam kes liwat I.
Lazimnya, hakim dari Mahkamah Rayuan boleh dibawa untuk mendengar kes-kes di Mahkamah Persekutuan tetapi masih tidak pasti sama ada ini akan dilakukan.
Pasukan peguam Anwar akan diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram