ARTIKEL SEBELUM

28/06/16

Hadi nafi Umno mahu serah tiga negeri pada PAS


Hadi berkata dakwaan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah tidak benar dan tidak boleh dipercayai.

Katanya lagi, sepanjang menjadi presiden PAS, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan antara kedua-dua parti dan beliau menegaskan PAS bertanding pada PRU-14 untuk mendapatkan negeri-negeri berkenaan.

"Berita palsu (tentang penyerahan negeri-negeri itu). Tidak ada perjanjian dan kita tidak pernah berbincang.

"PAS hanya akan bertanding (dalam PRU-14) untuk dapatkan negeri-negeri itu," katanya seperti dilapor akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Ahad lalu, Mukhriz mendakwa beliau percaya wujud perjanjian antara Umno dan PAS untuk membahagi negeri-negeri berkenaan di bawah pemerintahan PAS selepas PRU-14.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat bersekongkol dengan DAP bagi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Hadi berkata PAS menolak cara tersebut.

Akhbar Umno itu melaporkan, anggota parlimen Marang tersebut menjelaskan bahawa PAS menolak cara yang digunakan Mahathir kerana ia berbeza dengan tujuan parti Islam berkenaan iaitu ingin membuat perubahan kepada negara dan bukannya menukar individu semata-mata.

Jelasnya lagi, PAS tidak akan menggunakan pengaruh DAP untuk mendapatkan sokongan ke atas sebarang gerakan bagi menjatuhkan pemimpin sebaliknya parti itu mempunyai cara penyelesaian Islam yang diguna pakai sejak sekian lama.

"Berlainan dengan tujuan PAS (bukan untuk jatuhkan pemimpin). Tujuan PAS untuk membuat perubahan negara sejak dahulu lagi dan bukannya tukar individu.

"Kita tidak terima penyelesaian DAP kerana kita adalah Islam. Terpulang kepada Dr Mahathir kerana ini demokrasi. Tetapi bagi PAS, akan terus istiqamah dengan pendekatan Islam," katanya lagi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud