ARTIKEL SEBELUM

9/05/16

Ujian sebenar Najib dalam dua pilihan raya kecil

Kemenangan besar BN dalam pilihan raya negeri Sarawak memang sudah diduga namun tidak dapat mengukur sejauh mana sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, ini kerana kemenangan BN di Sarawak dipengaruhi faktor kepimpinan Tan Sri Adenan Satem yang disifatkan telah berjaya 'menyelamatkan maruah' perdana menteri itu.

Bagaimanapun kata Zainuddin, BN bakal menghadapi debaran hebat dalam dua pilihan raya kecil parlimen berikutan kematian dua wakil rakyatnya baru-baru ini.

"Dua pilihanraya kecil ini lebih bererti daripada pilihan raya besar 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak.

"Lebih mengerikan jika difikirkan bahawa dalam pilihan raya umum lalu, Allahyarhamah Noriah Kasnon mengatasi calon PAS hanya dengan 399 undi di kawasan Sungai Besar dan Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad menang dengan hanya 1,082 undi dalam tandingan tiga penjuru," tulisnya di blog beliau hari ini.

BN kehilangan dua wakil rakyatnya iaitu Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak petang Khamis lalu.

Selain Noriah dan Wan Mohammad Khairil, empat lagi individu terkorban dalam nahas itu ketika helikopter tersebut dalam penerbangan dari Betong Ke Kuching.

Menurut Zainuddin, dua kawasan parlimen itu akan menjadi pertempuran hidup dan mati bagi Najib dan sekiranya BN mengalami kekalahan, ia akan menjatuhkan moral perdana menteri itu 'serendah-rendahnya'.

"Jika sekiranya BN menang di kawasan-kawasan ini maka pastinya akan mengangkat maruah Najib setinggi-tingginya, menaikkan semula imej BN dan memberikan harapan baru kepada Umno dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.


"Jika menang, Najib juga akan dapat membersihkan kekotoran imejnya sekian lama kerana isu 1MDB, RM2.6 bilion dan masalah isterinya," katanya.

"Dua pilihan raya kecil ini memberi peluang lebih awal kepada rakyat untuk memberikan hukuman kepada pemerintahan Najib yang berada dalam krisis.

"Bagi Najib, ia akan menjadi medan pertempuran untuk hidup atau mati," kata Zainuddin.-mkini

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud