Lima ADUN PKR yang berkecuali terhadap usul dibawa Umno dalam isu penambakan laut di Pulau Pinang tahun lepas merancang untuk membuat kejutan di dewan undangan negeri .
Difahamkan usul tergempar terhadap isu penambakan itu akan dibentangkan bersama oleh lima ADUN PKR- Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Norlela Ariffin (Penanti), Lee Khai Loon (Machang Bubok), Dr T Jayabalan (Batu Uban) dan Ong Chin Wen (Bukit Tengah).
Mereka disertai oleh Teh Yee Cheu (DAP-Tanjung Bungah), yang sebelum ini menyokong Umno semasa usul itu dibentangkan dan dibahaskan pada November tahun lepas.
Teh, yang ketika itu setiausaha organisasi DAP Pulau Pinang, menarik balik sokongannya selepas 30 minit.
Difahamkan usul tergempar yang akan dibentangkan esok itu juga akan disokong ADUN BN dan lain-lain wakil daripada Pakatan Harapan.
"Ia jika berlaku esok, ini akan menjadi kali pertama bahawa satu langkah untuk manfaat rakyat Pulau Pinang sedang disokong oleh kedua-dua belah blok politik," kata wakil rakyat yang enggan namanya disiarkan.
Norlela yang enggan menjelaskan dengan lebih lanjut, berkata "Ia akan menjadi satu kejutan yang besar".
Difahamkan usul itu menggesa kerajaan negeri supaya tidak meluluskan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dengan kos RM27 bilion sehingga Kajian Terpeinci Mengenai Kesan Alam Sekitar (DEIA) selesai.
Kerajaan negeri juga diminta untuk mencari alternatif lain dan bukannya dengan menambak tiga pulau buatan, untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.-mkini