25/04/16

Lelaki kurang siuman serang kuil ditahan

Lelaki kurang siuman serang kuil ditahan

IPOH - Polis memberkas seorang lelaki yang telah menceroboh dan memecahkan sembilan patung dewa sebuah kuil di Jalan Raja Ashman Shah di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, suspek berusia 29 tahun itu telah memecahkan patung- patung dewa berkenaan dengan menggunakan sebilah parang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Iriz menghala ke Jalan Ghazali Jawi terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

"Berdasarkan maklumat, suspek didapati memandu secara melawan arus sebelum terbabas melanggar hentian bas.

"Suspek berjaya ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Sungai Senam untuk tindakan lanjut serta direman," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai kurang siuman dan menafikan kejadian itu melibatkan unsur perkauman.

Jelasnya, pihaknya turut menyiasat kaitannya dengan kumpulan pengganas IS setelah menemui dua bendera dalam tulisan jawi.

"Bendera ditulis dengan kalimah syahadah ditemui dalam kereta itu namun, kita masih siasat dan setakat ini tiada sebarang kaitan IS.

"Kita turut menemui sebilah parang dalam perkarangan kuil dipercayai digunakan suspek untuk memecahkan patung-patung dewa," katanya.

Kejadian itu menyebabkan kuil berkenaan menjadi tumpuan dan polis menutup jalan selama beberapa jam bagi mengawal keadaan sehingga selesai jam 1 pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi turut meluangkan masa beberapa minit untuk meninjau lokasi kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam.