SHAH ALAM - Penganalisis politik melihat senario pertukaran menteri besar yang berlaku sebelum ini di Terengganu dan Selangor berbeza dengan kes terbaharu di Kedah melibatkan, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik berkata, kedua-dua bekas menteri besar itu, Datuk Seri Ahmad Said dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus malap dan menjadi ‘low profile’ sejak disingkirkan.
“Hal ini amat berbeza dengan Mukhriz. Beliau mempunyai kelebihan sebagai anak bekas Perdana Menteri dan lebih bertuah ialah anak kepada Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang memberikan kredit lebih kepadanya.
“Mukhriz tidak pernah dikenali sebagai pejuang dalam karier politiknya semenjak zaman Pemuda Umno, namun bayangan Tun M memberikan kredit yang banyak di dalam karier politik beliau.
"Ini tiada pada kedua-dua bekas menteri besar di Selangor dan Terengganu itu,” katanya kepada Sinar Online.
Pada Mei 2014 lalu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Ahmad Said manakala pada September tahun sama, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid.
Semalam, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pula dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu menggantikan Mukhriz setelah krisis yang berlarutan kira-kira dua minggu.
Mengulas lanjut, Dr Maszlee menyatakan keyakinannya bahawa selepas dua contoh pertukaran menteri besar dari Umno itu, tiada lagi mana-mana menteri besar yang berani 'menegur' mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap isu-isu yang mengelilingi Presiden Umno itu.
“Persoalan sama ada Ahmad Bashah mampu menyaingi Mukhriz bukan prioriti utama Umno sekarang. Pemecatan Mukhriz merupakan isyarat Najib kepada para pemimpin Umno agar tidak melawannya.
“Najib telah berjaya memperkemaskan cengkaman kuasanya di peringkat para pemimpin negeri-negeri di bawah pentadbiran BN.
“Tapi, apa yang pasti agak mustahil untuk Ahmad Bashah menjadi pengganti lebih baik seperti Azmin di Selangor. Namun, jika kerajaan pusat boleh menyalurkan sejumlah besar projek ke Kedah, maka Ahmad Bashah akan menjadi bintang,” katanya.
Namun katanya, susulan keadaan ekonomi yang sakit mutakhir ini perkara tersebut agak sukar.
“Kecuali jika terdapat Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang besar masuk ataupun Kedah menemui telaga minyak baru,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas),Prof Madya Dr Jeniri Amir melihat, pertukaran ketiga-tiga menteri besar di Terengganu, Selangor dan Kedah susulan pemimpin itu sudah tidak lagi disenangi parti mahupun sebahagian Adun.
“Presiden parti yang memilih mereka untuk menjadi menteri besar. Jadi apabila seseorang menteri besar itu sudah tidak lagi disenangi atau tidak lagi mendapat sokongan sebahagian besar Adun seperti yang berlaku di Kedah, maka beliau (menteri besar) tidak mempunyai pilihan kecuali berundur.
“Itu juga sebenarnya jalan terbaik untuk mengelakkan krisis politik berlarutan sehingga boleh menjejaskan pentadbiran negeri. Lebih-lebih lagi bagi Umno di mana kedudukannya di Kedah misalnya tidaklah begitu mantap. Jadi, apa-apa sahaja boleh berlaku,” katanya.
Menyentuh soal suasana di Selangor dan Terengganu yang kian reda sejak krisis pertukaran menteri besarnya, beliau mengingatkan dengan menggunakan perumpamaan bahawa ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya’.
“Jika kem yang sebelum ini menyokong menteri besar terdahulu dapat diredakan, maka itu peluang untuk menteri besar yang baharu. Paling penting untuk beliau menjelaskan kepada rakyat.
“Menjadi tugas menteri besar yang baharu untuk merapatkan barisan dan memastikan segala kelemahan yang didakwa terhadap menteri besar terdahulu dapat diselesaikan serta mengemukakan strategi terbaik untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Akui pengganti di Selangor dan Terengganu berjaya merebut kembali hati penyokong setakat ini namun bukan sepenuhnya.
“Kejayaan itu bergantung pada pendekatan yang digunakan oleh menteri besar yang baharu. Menteri besar di Selangor dan Terengganu ini kelihatan seorang pemimpin yang berhemah, bertindak sesuai dengan aspirasi dan kehendak rakyat di negeri masing-masing.
“Jadi, pendekatan demikian telah memberi keyakinan kepada rakyat dan pengundi di kedua-dua negeri itu untuk memberi sokongan kepada mereka berdua ini. Jadi, personaliti dan pendekatan menteri besar baharu ini banyak menentukan bagaimana reaksi rakyat selepas ini sebagaimana yang terbukti di Selangor dan Terengganu,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Jeniri berkata, cabaran terbesar yang menanti pengganti itu adalah untuk memastikan pisang tidak berbuah dua kali dalam PRU14 ini.
“Jika di Kedah, Ahmad Bashah perlu memastikan Kedah tidak terlepas ke tangan Pas dalam PRU14. Namun, setelah apa yang berlaku, saya tidak fikir itu tugas dan tanggungjawab yang mudah,” katanya.
Tambahnya, berdasarkan kenyataan berbaur positif yang dibuat oleh Ahmad Bashah terhadap Mukhriz, beliau melihat potensi buat Adun Bakar Bata itu menstabilkan suasana namun tidak dapat menjangkakan tempoh yang bakal diambil. - Link