PAS Kelantan menyifatkan kritikan Parti Amanah Negara (AMANAH) terhadap partinya memberi peluang kepada Umno untuk terus kekal memerintah Malaysia.
Menurut Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi, tindakan AMANAH itu seolah-olah memberi tongkat kepada Umno.
Hal ini kerana, katanya, parti pimpinan Datuk Seri Najib Razak sedang dilanda krisis dalaman namun kritikan AMANAH memberi peluang kepada Umno untuk bangkit.
“Sebenarnya yang memberi tongkat kepada Umno adalah AMANAH.
"Umno dah nak kalah kerana masalah yang dihadapi oleh parti itu termasuk perpecahan yang dialami termasuk pemecatan menteri dan pegawai tinggi.
“Rakyat telah jemu dengan Umno. Jadi apabila AMANAH datang Kelantan dan buat kerja (kempen) di Kelantan, ia seolah-olah memberi tongkat kepada Umno,” katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, Presiden AMANAH Mohamad Sabu berikrar akan bermusuh dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan Umno.
Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak, kenyataan Mohamad yang lebih mesra dipanggil Mat Sabu itu dipercayai merujuk kepada parti PAS yang kini dilihat bersikap mesra dengan Umno.
AMANAH sembunyi kerjasama
PAS sebelum ini menetapkan parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan menjalinkan kerjasama dengan Umno demi menegakkan dan menjaga kepentingan umat Islam di Malaysia.
Che Abdullah ketika diminta mengulas mengenai hubungan PAS dan Umno bagaimanapun menafikan kerjasama tersebut.
Baginya, isu gabungan di antara PAS dan Umno tidak pernah berbangkit.
Jelas Exco Kelantan itu, isu gabungan PAS - Umno wujud disebabkan AMANAH yang dipimpin Mat Sabu mahu menyembunyikan kerjasama dijalinkan parti itu bersama DAP.
“Tak pernah ada ura-ura PAS mahu bergabung dengan Umno tapi ia dibangkitkan oleh AMANAH sendiri bagi menutup kemarahan rakyat terhadap kerjasama mereka dengan DAP, atau lebih tepat lagi menjadikan AMANAH sebagai tunggangan DAP untuk mengaburi orang Melayu Islam.
“Orang Melayu marah juga DAP tapi AMANAH mengadakan kerjasama dengan DAP, jadi (AMANAH kata) PAS nak bergabung dengan Umno merupakan fitnah berterusan daripada AMANAH.
“Patut dia (AMANAH) tunjuk kerjasama dia betul-betul dengan DAP dan tidak perlu palitkan orang lain,” katanya.- mkini