Satu risalah mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada salah laku diedarkan kepada perwakilan ketika Timbalan Presiden Umno itu terus diketepikan partinya.
Risalah setebal 28 halaman itu berjudul Aku Bukan Petualang itu dihasilkan untuk menjelaskan keadaan di pihak Muhyiddin dan penyampaiannya dibuat seolah-olah beliau yang bercerita kepada pembaca.
Risalah itu diedarkan kepada perwakilan oleh dua lelaki yang enggan dikenali di jejantas pejalan yang terletak di antara Pusat Dagangan Dunia Putra dan kompleks Sunway Putra pagi ini.
Mengambil sudut penceritaan orang pertama, Muhyiddin menegaskan dia sentiasa menjadi timbalan presiden yang setia kepada parti dan berperanan menjadikan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.
Katanya dia juga menyokong semua dasar dilaksanakan Najib sehinggalah tiba kepada isu 1MDB.
Rasa kurang senang beliau kepada 1MDB itu pun, menurut buku berkenaan, timbul kerana ia boleh menyebabkan masalah kewangan kepada negara.
"Saya tidak pernah mendoakan kegagalan 1MDB kerana jika 1MDB gagal, kerajaan juga gagal," katanya.
Muhyiddin juga, dalam buku itu, menyatakan tanggungjawabnya sebagai timbalan perdana menteri adalah menasihati perdana menteri.