Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata terdapat tanda-tanda beliau mungkin didakwa di mahkamah selepas pihak berkuasa menyoal siasatnya minggu lepas.
Polis pada 6 November lalu menyoal siasat Mahathir susulan kenyataannya berkaitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam himpunan BERSIH 4 pada Ogos lalu.
Mengulas isu itu hari ini, Mahathir (gambar) percaya polis cuba menjadikan kenyataannya dalam acara itu sebagai jenayah.
“Walaupun mereka tidak kata saya akan didakwa, tetapi terdapat tanda-tanda bahawa saya mungkin didakwa,” tulisnya dalam blog hari ini.
Kenyataan Mahathir dirakamkan polis minggu lalu di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur.
Beliau disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas dakwaan melalukan fitnah jenayah.
Semasa perhimpunan BERSIH 4, Mahathir membuat dua penampilan pada 29 Ogos dan 30 Ogos dan menuduh pemimpin Umno menerima rasuah.
Beberapa pemimpin bahagian membuat laporan polis terhadap Mahathir.
Mahathir juga berulang kali mendesak Najib untuk meletakkan jawatan dan menuduhnya terbabit dengan banyak salah laku, termasuk ‘mencuri’ wang 1MDB.
Najib juga berulang kali menafikan serangan terhadapnya dan mendakwa Mahathir terbabit dalam komplot menjatuhkannya.