ARTIKEL SEBELUM

6/11/15

'Saya tak tahu dan tak akan setuju bersama Umno'


PAS Selangor tidak tahu menahu berhubung dakwaan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu membentuk kerajaan bersama Umno di negeri itu.

Bagaimanapun, kata pesuruhjayanya Datuk Iskandar Abdul Samad, sekiranya benar wujudnya "konspirasi" ke arah kerajaan perpaduan, pihaknya tidak akan bersetuju.

“Tetapi selalunya kalau berlaku konspirasi nak wujudkan kerajaan perpaduan, memang kita tak tahu dan memang kita pun tidak bersetuju kalau berlaku kerajaan perpaduan dengan Umno-BN," katanya.

Husam dalam satu ceramah di Pasar Kedai Mulong, Pasir Mas mendakwa Hadi cuba membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor.

Dalam video ucapan yang dimuat naik di Internet pagi ini, Husam mendakwa Hadi mengaku mengajak dua atau tiga ADUN PKR menyertai PAS bagi membentuk kerajaan negeri bersama Umno.

Walaupun tidak menyatakan tempoh masa berkenaan, ia dipercayai merujuk keadaan semasa krisis menteri besar Selangor ketika PKR mahu menggugurkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

'Apa perlu dengan Umno?'

Sementara itu, Iskandar juga berkata, PAS negeri itu tiada keperluan untuk bekerjasama dengan Umno berdasarkan keadaan politik semasa.

“Saya tak tahu selama ini, tetapi seperti mana yang sebelum ini masa krisis menteri besar pun, kita tidak pernah bincang mengenai kerjasama dengan Umno.

"Saya rasa, yang saya lihat tidak ada keperluan nak tubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno. Sebab kita masih dalam keadaan terkawal sekarang ini.

“Apa perlunya kita tubuh kerajaan perpaduan dengan Umno. Orang Umno sendiri pun tak mahu dengan Umno," katanya yang juga naib presiden PAS itu.

Ketika diajukan soalan mengenai dakwaan yang mengatakan terdapat usaha PAS untuk memujuk beberapa ADUN PKR menyertai parti Islam itu, beliau hanya berkata:

"Itu saya tak tahu, sebagai pesuruhjaya PAS Selangor, saya tidak tahu itu berlaku. Kena tanya Datuk Husamlah," ujarnya.

PAS Selangor masih mengekalkan kerajaan bersama PKR dan DAP negeri walaupun gabungan baru pembangkang Pakatan Harapan ditubuhkan tanpa mereka.

PKR dan DAP kini bergabung bersama parti serpihan PAS Parti Amanah Nasional (AMANAH) di peringkat nasional.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud