ARTIKEL SEBELUM

26/11/15

Gubal undang-undang baru kawal guna vape

Kerajaan bercadang untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengawal penggunaan vape terutama yang mengandungi cecair nikotin dalam perisanya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata cecair nikotin yang terkandung dalam perisa vape merupakan bahan racun yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya dikecualikan untuk rokok atau produk tembakau.

"Oleh kerana perisa-perisa vape yang mengandungi nikotin ini dijual di pasaran dan tidak terkawal, maka perlu wujud satu undang-undang untuk mengawalnya," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Dr Subramaniam berkata ketika ini, cecair nikotin hanya dijual dalam kuantiti yang terkawal di farmasi-farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan perubatan.

"Berdasarkan kajian, pengambilan nikotin akan membawa kepada ketagihan dan boleh membawa maut sekiranya mengambilnya secara berlebihan," katanya.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata tidak timbul isu kenaikan harga ubat meskipun kerajaan akan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak lama lagi.

"Kami (Kementerian Kesihatan) telah berbincang dengan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) mengenai perkara ini.

"Kami dapati sekiranya TPPA ditangani ia bukan sahaja tidak menaikkan harga ubat, malah akan membuka ruang kepada syarikat-syarikat ubat di dunia untuk bersaing secara sihat bagi mewujudkan harga yang lebih murah," katanya.

- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud