Lazimnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin agak bersopan santun dan cukup teliti dengan budi bahasanya.
Namun beliau mengejutkan banyak pihak, Sabtu lalu dengan membidas sesetengah pemimpin Umno sebagai pengecut kerana tidak bersuara dalam isu krisis negara.
Ia mungkin kenyataan paling keras pernah dibuat beliau sejak digugurkan dari kabinet Datuk Seri Najib Razak Julai lalu.
Muhyiddin menyifatkan, ketika negara dalam keadaan kelam-kabut di waktu ini beliau sahaja yang berani bersuara untuk memperbetulkan keadaan.
Tindakannya itu dikatakan mungkin memakan diri.
Semalam, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata parti itu sudah penat melayan anggota yang mengeluarkan kenyataan yang tidak sesuai dengan membidas parti.
Beliau juga mendedahkan bahawa tujuh pemimpin misteri Umno sedang dipantau untuk tindakan disiplin. Mereka mungkin juga, katanya digantung jawatan dan keanggotaan dalam parti itu.
Kenyataan itu menyemarakkan spekulasi bahawa Muhyiddin antara tujuh yang dimaksudkan itu dan akan dilucutkan sebagai timbalan presiden Umno tidak lama lagi.
Ia semakin hangat apabila Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunus mengesahkan terdapat gerakan untuk menyingkirkan Muhyiddin.
Sejak beberapa hari lalu, beberapa portal, yang dianggap penyokong tegar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, memperhebatkan ‘serangan’ ke atas Muhyiddin.
Antara lain, portal - MyKMU.net - menuduh bekas menteri pelajaran menyebabkan guru-guru beralih kepada pembangkang.dan menentang kerajaan kerana sistem 1BestariNet yang diilhamkannya bermasalah.
Batu penghalang
Malah penyokong Muhyiddin juga tidak terkecuali daripada mengandaikan bahawa pemimpin politik veteranitu bakal digantung.
"Saya fikir adalah hampir pasti terdapat gerakan yang mahu tsmy (Tan Sri Muhyiddin Yassin) digantung," petik mesej Whatsapp daripada sumber yang rapat dengan pemimpin nombor 2 Umno itu.
Walaupun beberapa ahli Majlis Tertinggi Umno menafikan gerakan itu atau meremehkan isu penyingkiran, namun penyokong Muhyiddin percaya mereka hanya menunggu masa yang sesuai untuk bertindak.
"Jika mereka menafikannya, ini mungkin bermakna tindakan sudah dirancang," kata seorang penyokong Muhyiddin yang tidak mahu namanya disiarkan.
Ada yang beranggapan kedudukannya sebagai timbalan presiden parti menjadi batu penghalang kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini naib presiden tetapi dilantik sebagai timbalan perdana menteri menggantikan Muhyiddin.
Semalam, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz secara terbuka menyatakan sokongan supaya Zahid menggantikan Najib.
Najib pada penghujung Julai lalu memecat Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri kerana lantang membidas syarikat pelaburan negara 1MDB yang diilhamkan perdana menteri tetapi kini sarat hutang.
Beliau kemudiannya menaikkan Zahid - langkah yang melanggar tradisi parti kerana lazimnya timbalan presiden Umno diangkat sebagai timbalan perdana menteri.- mkini