ARTIKEL SEBELUM

14/10/15

Pemimpin Umno masuk PKR esok

PKR esok dijadual mengumumkan kemasukan pemimpin Umno ke dalam parti itu.

Ia dijadual diumumkan oleh presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail dalam sidang media ibu pejabatnya di Petaling Jaya pada tengah hari esok.

Individu itu tidak dinamakan tetapi ramai membuat spekulasi bahawa ia adalah bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah.


Beberapa pemimpin PKR telah memuat naik poster berkaitan di Internet.

Malaysiakini sudah menghubungi Saifuddin bagi pengesahannya dan masih menunggu jawapannya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli ketika dihubungi enggan mengesahkannya tetapi tidak menolak secara pasti.

“Pengumuman esok. Saya tak kata ya atau tidak,” katanya ketika ditanya sama ada orang itu Saifuddin.

Kalah dalam PRU lalu

Terus diasak beliau berkata tidak dapat membuat sebarang kenyataan tetapi memberi bayangan individu itu tewas dalam pilihan raya umum lalu.

“Beliau kalah dalam pilihan raya umum lalu,” katanya sambil ketawa.

Saifuddun sebelum ini kecundang di tangan calon PAS Nasruddin Hasan di Temerloh.

Saifuddin sebelum ini pernah dispekulasi akan menyertai Parti Amanah Nasional (AMANAH), parti serpihan PAS.

Terkenal dengan kenyataan sering melawan arus dalam Umno, beliau baru-baru ini hadir dalam mesyuarat pembentukan gabungan baru pembangkang Pakatan Harapan.

Perkara itu menyebabkan beliau menerima surat tunjuk sebab daripada partinya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud