ARTIKEL SEBELUM

14/10/15

PAS Selangor tolak kerjasama dengan Perkasa

Tidak sampai 24 jam selepas PAS dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) dilaporkan memeterai kerjasama membabitkan isu yang menyentuh kepentingan Islam dan Melayu, ia menerima 'tentangan' dari dalam parti Islam itu sendiri.

PAS Selangor dalam satu kenyataan malam tadi berkata ia tidak bersetuju dengan sebarang kerjasama dengan Perkasa, selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan kerjasama antara dua pihak itu melibatkan 3 perkara.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar A Samad berkata, walaupun PAS Selangor bersedia mewujudkan kerjasama untuk menentang Barisan Nasional (BN) dengan mereka yang menghormati prinsip dan dasar perjuangan PAS, "tetapi kami menolak sama sekali mana-mana pihak yang membawa sentimen perkauman".


"Seluruh tenaga rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan sosial perlu digembleng untuk berdepan dengan penyelewengan dan salah guna kuasa BN," katanya.
Petang semalam, Hadi berkata, PAS dan Perkasa setuju bekerjasama dalam 3 perkara, iaitu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Iskandar yang juga naib presiden PAS berkata, pihaknya menerima penjelasan daripada PAS Pusat mereka hanya menerima kunjungan hormat daripada Perkasa dan tiada persetujuan dicapai untuk menjalinkan kerjasama.

"Mereka membincangkan 3 perkara iaitu 1MDB, Sosma dan TPPA. Tidak ada persetujuan untuk mewujudkan sebarang kerjasama seperti yang dilaporkan media," katanya dalam kenyataan itu.

Pada masa sama, setiausaha politik Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut menjelaskan lewat malam tadi, kedua-dua pihak yang bertemu di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur semalam hanya bersetuju mengenai 3 isu itu saja.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang Zainulfaqar Yaacob berkata Samsuri menafikan PAS ada kerjasama rasmi dengan Perkasa, yang diketuai Datuk Ibrahim Ali, dan pertubuhan pelampau itu hanya membuat kunjungan hormat kepada Hadi saja.

Sehubungan itu, Zainulfaqar berkata, Amanah perlu mencari jalan supaya tiada kunjungan hormat daripada Perkasa pula untuk bertemu dengan pemimpin utama yang lain dalam Pakatan Harapan.

"Ini kerana, usaha membawa masuk PAS ke dalam Pakatan Harapan masih berlaku, sehingga kini, dan niat itu cuba dimurnikan pemimpin tertentu PAS sendiri," katanya.

Sekiranya hendak mementingkan "politik kekuasaan" seperti Perkasa yang mesra dengan Umno dan PAS, majoriti rakyat akan pertikai integriti politik kita, kata Zainulfaqar. –

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud