Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menghormati prinsip pemisahan kuasa di antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
"Pada masa ini, perdana menteri sebagai ketua penggubal undang-undang yang dipilih secara jelas tidak menghormati prinsip-prinsip ini," kata bekas perdana menteri itu dalam blognya www.chedet.cc hari ini.
Dr Mahathir merujuk kepada campur tangan Najib dalam siasatan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membawa kepada pembubaran pasukan petugas khas yang bertanggungjawab ke atas siasatan syarikat tersebut.
"Contohnya pegawai pentadbiran yang sedang menyiasat 1MDB dan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, menyebabkan kerja siasatan terhenti. Penggantian mereka jelas dengan kelulusan perdana menteri.
"Pegawai-pegawai SPRM juga menghadapi situasi sama dan sekali lagi menyebabkan siasatan terhalang," katanya merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dr Mahathir turut memberi contoh penyingkiran bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail ketika siasatan 1MDB sedang berjalan.
"Peguam negara, ahli institusi kehakiman, disingkirkan ketika beliau sedang menjalankan tugas menyediakan kes tersebut bagi dibawa ke mahkamah.
"Bagi menggantikannya, seorang hakim ditukarkan dan mengambil alih sebagai peguam negara. Ini sebenarnya merampas kuasa badan kehakiman," kata Dr Mahathir lagi.
"Gani dikatakan sakit tetapi dia menafikan dia sakit. Setakat yang diketahui, nampaknya tiada sijil perubatan yang dikeluarkan mengesahkan dia sakit."
Gani, yang merupakan ketua pasukan petugas menyiasat 1MDB itu, tiba-tiba dilucutkan daripada jawatannya pada Julai atas alasan kesihatan dan digantikan dengan hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Dr Mahathir berkata, insiden inilah yang mungkin mencetuskan kenyataan Majlis Raja-raja Melayu yang bertitah pada 6 Oktober menggesa siasatan 1MDB diselesaikan segera.
"Semua ini dalam pengetahuan umum. Raja-raja mungkin pernah mendengar dan menerima petisyen berhubung sikap tidak autoritarian yang tidak mempedulikan undang-undang dan peraturan kerajaan," kata Dr Mahathir.
"Jika mereka berpendapat kerajaan perlu membenarkan siasatan segera dijalankan mengenai isu yang menjadi kebimbangan rakyat dan negara, menjadi kewajipan Raja-raja memaklumkan kepada kerajaan mengenai ketidakpuasan hati rakyat dan meminta kerajaan menangani isu tersebut," katanya.
Majlis Raja-raja sebelum ini mendesak siasatan 1MDB didedahkan kepada umum bagi membuktikan tiada apa yang disembunyikan dalam siasatan terhadap firma pelaburan milik negara itu.
Mereka berkata mereka mahu Putrajaya menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan bertindak terhadap pesalah sambil menambah, kegagalan memberi jawapan yang baik akan mengakibatkan krisis keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan.
http://www.themalaysianinsider.com