ARTIKEL SEBELUM

8/10/15

Khalid orang luar, jangan campur hal PKR

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali meminta pendahulunya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak masuk campur urusan PKR kerana beliau bukan lagi ahli parti itu.

Beliau turut mengingatkan Abdul Khalid bahawa PKR tahu untuk menguruskan parti, memandangkan kedudukan parti itu sangat kukuh dan stabil di bawah pimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Khalid bukan lagi ahli parti jadi jauhkan diri daripada PKR, kami tahu untuk uruskannya.

“Beliau itu orang luar dan seperti saya katakan PKR ketika ini sangat kukuh dan kami bersatu,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini, hari ini.


Timbalan Presiden PKR itu menafikan wujudnya gerakan penubuhan parti baharu sebagai kuasa ketiga oleh pemimpin dan aktivis PKR.

“Kalau kita bersatu tidak ada lah gerakan ketiga, keempat atau lima hanya satu parti, satu kepimpinan dan kami bercakap dalam satu suara.

“PKR percaya dengan kepimpinan Presiden parti mampu mendepani cabaran diperingkat nasional terutamanya krisis ekonomi dan kepimpinan dalam satu pasukan untuk menentang Umno-BN pada PRU14 akan datang,” katanya.

Semalam, Abdul Khalid dalam status Facebooknya berkata, beliau tidak terlibat dalam sebarang gerakan menubuhkan parti baharu sebagai kuasa ketiga namun, tidak hairan sekiranya wujud penubuhan parti lain susulan kegagalan PKR menyelesaikan aduan ahli parti secara telus dan adil.

Dalam pada itu, Azmin turut menolak dakwaan bahawa beliau ibarat ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’ dalam urusan penstrukturan semula industri yang selama ini diperjuangkan oleh Abdul Khalid.

“Ini adalah kerja berpasukan pegawai kerajaan negeri, Unit Perancang Ekonomi (Upen ) dan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang berperanan mempertahankan hak dan mewakili Kerajaan Selangor.

“Tapi sebelum ini urusan pindah milik aset air syarikat-syarikat konsesi air (Consession Companies Water Assets-CCWA) bersama dengan penyerahan tanah sepanjang 36,000 kilometer paip kepada kerajaan Persekutuan, saya tidak setuju,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud