Mendakwa Datuk Seri Najib sebagai pencuri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa pengundi Pekan memastikan Presiden Umno itu kalah dalam pilihan raya akan datang.
Bercakap dalam sesi soal jawab di majlis minum petang Bicara Politik Bersama Tun Dr Mahathir di Hotel De Palma Ampang, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu berkata sebenarnya Najib enggan meletak jawatan kerana "takut".
Sebabnya, pada pandangan Dr Mahathir, Najib bimbang dia akan dipenjarakan apabila siasatan dijalankan terhadap dakwaan yang dikaitkan dengannya.
Mengulas lanjut mengenai langkah yang boleh diambil orang ramai untuk memaksa Najib berundur, Dr Mahathir berkata, pengundi di Pekan (kawasan Najib) perlu membiarkan anak bekas perdana menteri itu kalah.
Tetapi pada masa sama, katanya, mereka perlu memastikan Umno tetap menang di tempat lain.
"Kalau dia tak mahu undur, jangan undi (Najib) di Pekan. Jangan bagi Umno kalah (di tempat lain) tetapi kalahkan Najib," kata Tun M dengan disambut tepukan gemuruh hadirin.
Majlis itu dianjurkan Umno cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka yang terletak di bawah bahagian Pandan.
Tapi biar Umno menang
Untuk menjayakan perancangan itu, Dr Mahathir berkata, penyokong Umno perlu berpakat dengan bijak.
"Kalau orang Melaty bijak, (mereka) akan pastikan (calon Umno) Pekan kalah.
"Boleh atau tidak kita berpakat, ia ditentukan oleh orang Pekan. Orang ini (Najib) pencuri, biarkan dia kalah tetapi biar Umno menang," kata Dr Mahathir lagi.
Dalam sesi itu juga Dr Mahathir mahu ahli Umno memikirkan kepentingan bangsa Melayu terlebih dulu berbanding kepentingan parti.
Justeru, Dr Mahathir mencadangkan supaya ahli parti itu belajar daripada masyarakat Cina yang bersatu apabila "kepentingan mereka terancam".
"Saya lihat orang Cina kalau kepentingan kaum itu terancam mereka mereka akan lupakan kepentingan parti mereka terlebih dahulu," katanya.