KUALA LUMPUR: Polis Sabah mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan serpihan pesawat di selatan perairan Filipina pada Sabtu.
Menurut laporan yang diterima, bangkai berkenaan dipercayai milik MH370 kerana terdapat bendera Malaysia pada pesawat tersebut.
Laporan the Star yang dipetik sebagai berkata, laporan polis mengenai penemuan itu dibuat seorang lelaki yang percaya bangkai pesawat dengan tulang manusia di dalamnya adalah milik MH370.
Bangkai pesawat itu dikatakan ditemui anak saudaranya di Pulau Sugbay, ke selatan Pulau Tawi-Tawi di selatan Filipina beberapa hari lalu.
Dia bertindak mengambil bendera Malaysia tersebut sebelum memaklumkan kepada bapa saudaranya.
Sementara itu, Ketua Polis Sabah, Datuk Jalaludin Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan tersebut dan akan menjalankan siasatan.
Pesawat malang itu membawa 239 penumpang dan dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebelum dilaporkan hilang.