ARTIKEL SEBELUM

29/09/15

Rumah ADUN dipecah masuk

SUNGAI PETANI - Rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Azman Nasrudin, di Taman Kristal, di sini, dipecah masuk sekumpulan tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau, pada awal pagi Isnin lalu.

Azman daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kejadian berlaku kira-kira 4 pagi ketika beliau, isterinya, Siti Hajar Abdullah, 42, serta empat anaknya, sedang tidur sebelum dikejutkan penyamun terbabit dan diikat serta dikumpulkan di sebuah daripada bilik rumahnya.

"Saya terjaga dari tidur selepas dikejutkan salah seorang penyamun, sambil sebilah pisau diacukan ke arah saya. Demi keselamatan saya sekeluarga, kami tidak melawan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Penyamun terbabit, katanya, melarikan komputer riba milik anaknya, tablet, telefon bimbit, sedikit barang kemas dan wang tunai kira-kira RM300.

"Sebaik sahaja keadaan selamat dan kelibat penyamun itu tidak kelihatan, saya terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda kira-kira 5.30 pagi, untuk membuat laporan polis," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Mohd. Sabri Muhamad ketika dihubungi berkata, polis sedang menyiasat kejadian itu dan setakat ini tiada tangkapan dilakukan. - Bernama




posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud