ARTIKEL SEBELUM

7/09/15

Polis Kluang tahan individu hina pegawai trafik wanita



Polis Kluang menahan seorang individu yang menghina mendiang Inspektor Margaret Tagum Goen di dalam catatan di laman Facebooknya.

Tagum meninggal dunia pada pukul 12.45 tengah hari semalam semasa dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang selepas dirempuh seorang Mat Rempit dalam Ops Roda/Rempit di Km 58, Jalan Batu Pahat-Mersing, Johor.

Antara penghinaan yang dibuat individu berkenaan terhadap mendiang ialah "Mampus juga kau ... setelah sekian lama menyusahkan orang."

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun twitternya di samping mengucapkan syabas kepada Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Kluang atas kejayaan menahan suspek itu.

"Syabas JSJ@PDRM Kluang yang berjaya tangkap orang yang menghina mendiang Inspektor Margaret-Trafik Kluang sebentar tadi," katanya menerusi laman twitter rasminya semalam.

Mayat mendiang akan dibawa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 9.25 pagi dan dijangka tiba di Kompleks MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching 11.15 pagi ini.

Mangsa sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di hospital itu selepas dirempuh oleh seorang Mat Rempit pada pukul 2.40 pagi ketika Tagum sedang melakukan sekatan jalan raya bersama 20 anggota trafik dan pasukan sukarelawan polis.

Rempuhan itu menyebabkan Tagum patah tangan, tulang pinggul dan kaki selain mengalami pendarahan dalaman.

- Bernama

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud