ARTIKEL SEBELUM

8/09/15

Lebih ramai sokong PAS lepas ditendang DAP

Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa lebih ramai yang menyokong PAS selepas ditendang DAP susulan pertelagahan membabitkan isu hudud meskipun parti itu hanya memenangi Pulau Pinang dalam pilihan raya umum lalu.

Presiden PAS itu berkata, walaupun terdapat beberapa cawangan parti Islam itu yang "dicantas", "tunas" baharu yang tumbuh untuk parti Islam itu kini juga lebih banyak dan subur.

"Kini PAS ditendang keluar oleh DAP yang merasa cukup kuat kerana memerintah hanya Pulau Pinang, namun sokongan kepada PAS lebih meningkat, walaupun beberapa ranting PAS kononnya berjaya dicantas, tetapi tunas yang tumbuh daripadanya lebih banyak dan lebih subur," kata ahli Parlimen Marang itu dalam satu kenyataan, hari ini.



Beliau berkata, beberapa pihak turut menuduh PAS ditipu Umno dalam isu hudud, namun Hadi mendakwa, gesaan untuk melaksanakan undang-undang Islam di negara ini turut dilakukan oleh mereka yang berada dalam pentadbiran kerajaan.

"Ada lagi yang menuduh PAS ditipu Umno dalam isu hudud, mereka memahami hudud itu berjaya apabila dilihat sudah ada tangan yang dipotong sekarang ini, tanpa menyedari betapa desakan melaksanakannya sudah masuk ke dalam jentera kerajaan dan ke dalam kalangan Umno sendiri.

"Tidak lagi suara menghina dan mengejek seperti dahulu, kecuali kalangan yang sudah habis tempuh suaranya, laksana ubat yang sudah tamat tempuhnya," katanya.

"Inilah hikmah apabila istiqamah dengan Allah SWT secara ilmu yang memandu kebijaksanaan, dan mengatur strategi yang boleh berubah di atas dasar dan matlamat Islam yang haram diubah."

Hadi turut berkata, sejarah perpisahan PAS bersama barisan pembangkang juga menjadi pengajaran untuk parti Islam itu tidak mengulangi tindakan yang sama.

"Kebiasaannya senario dahulu tidak berulang, hanya menjadi pengajaran untuk mengatur langkah meneruskan perjuangan.

"PAS pernah ditendang keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada tahun 1978 apabila dirasakan mereka kuat dan PAS sangat lemah dengan kejatuhan Kelantan.

"Namun, kebangkitan PAS selepasnya lebih kuat dan teguh. Kelantan di ambil semula dengan lebih kuat dan panjang umurnya," katanya.

Beliau turut menyeru agar ahli PAS bersama-sama dengan perjuangan mereka dan tidak menuruti tindakan beberapa pemimpin dan ahli mereka yang meninggalkan parti Islam itu dan menyertai Parti Amanah Negara.

Parti yang dikenali sebagai Amanah itu kini dipengerusikan oleh bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu selepas tewas dalam pemilihan parti itu.

Turut serta bersama beliau adalah pemimpin-pemimpin dari kumpulan progresif yang tewas dalam pemilihan PAS yang didomonasi kumpulan konservatif daripada golongan ulama.

"Jatikan diri jamaah ini ketika belum menang, kita adalah mulia bersama Islam di masa lemah dan kuat.

"Maka, perjuangan ini tidak layak bagi mereka yang tidak berani mebuka mulut bercakap Islam, lebih tidak layak kepada yang menagih kasihan pihak lain sehingga melupai pertolongan Allah kepada hamba-hambannya yang beriman dengan ikhlas," katanya.

Hadi berkata, perjuangan bersama PAS juga tidak layak untuk individu yang gopoh dan tidak istiqamah serta malu dalam perjuangan mereka.

"Perjuangan ini tidak layak bagi orang yang gopoh untuk menang sehingga tidak Istiqamah di atas aqidah perjuangan, tidak berpijak lagi di atas dasarnya dan sanggup membuang tanda hala tuju perjalanan menegakkan Islam kerana merasa malu dan hina bersama Islam.

"Semuanya disingkir atau tersingkir hanyut, masuk ke dalam perangkap sampah perjuangan, yang menyekat aliran perjalanan dan kemaraan perjuangan Islam yang sebenar," katanya.

-

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud