ARTIKEL SEBELUM

5/09/15

Dollah Salleh letak jawatan susulan kekalahan

Dollah Salleh hari ini meletak jawatan selaku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya berikutan kekalahan memalukan pasukan negara pada perlawanan ketiga Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Beliau membuat keputusan untuk melepaskan jawatan yang disandangnya itu sejak 28 Jun, 2014 kerana berasa bertanggungjawab di atas kekalahan mengaibkan skuad negara tumpas 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Mohammed Bin Zayed, UAE, semalam.

Dollah berkata beliau sudah memaklumkan keputusannya itu kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin melalui perbualan telefon pagi tadi.



"(Keputusan meletak jawatan itu) muktamad. Saya sudah berbincang perkara ini dengan Datuk Hamidin dan semuanya berjalan lancar," kata Dollah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, malam ini.
Dollah mengakui beliau terkilan kerana menamatkan karier selaku pengendali skuad kebangsaan dengan keputusan perlawanan yang teruk.

Kekalahan 10-0 skuad negara itu adalah yang terbesar dalam mana-mana perlawanan antarabangsa.

Sambil itu, Dollah tidak menyangka UAE mampu melakar jaringan besar ke atas skuad Harimau Malaya pada perlawanan berkenaan walaupun pemain negara berusaha menyerap asakan bertali arus pasukan kendalian Mahdi Ali itu.

"Saya tidak boleh salahkan pemain dan saya kena terima keputusan perlawanan.

"(Ketua pasukan Pahang), Mohd Razman Roslan suruh saya tunggu sehingga perlawanan seterusnya menentang Arab Saudi tetapi saya cakap tak boleh teruskan lagi," kata Dollah.

Malaysia dijadualkan menentang Arab Saudi pada aksi keempat Kumpulan A pada 8 September ini di Stadium Shah Alam.

"Mengenai pengganti saya untuk perlawanan menentang Arab Saudi, saya serahkan perkara itu kepada FAM," kata Dollah.

Jurulatih berusia 51 tahun itu bukanlah nama asing dalam bola sepak tanah air kerana membantu beberapa pasukan tempatan menjulang pelbagai kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia, sehingga digelar jurulatih yang mempunyai sentuhan ajaib.

Pencapaian terbaik Dollah sebagai jurulatih adalah pada 2005 ketika membawa pasukan Selangor bergelar juara treble - Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

Beliau membimbing 4 pasukan dalam Liga Perdana untuk berada di kedudukan teratas iaitu MPPJ FC (2004), Selangor (2005), Pahang (2012) dan PDRM (2014) mara ke saingan Liga Super.

Untuk rekod, Dollah dilantik oleh FAM pada Jun 2014 setelah badan induk itu memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal yang tamat pada 31 Disember, 2013. – Bernama,


posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud