ARTIKEL SEBELUM

20/09/15

Bai'ah Pas bukan merendahkan kedudukan isteri


Abdul Hadi Awang


SHAH ALAM – Lafaz sumpah bai’ah yang dikenakan ke atas ahli Pas yang memerlukan mereka menceraikan isteri sekiranya meninggalkan parti tidak merendahkan golongan wanita.

Sebaliknya kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bai'ah itu meletakkan wanita pada kedudukan yang lebih tinggi.

“Pas mengisyaratkan bai’ah yang dimasukkan di dalamnya sumpah dan laknat dengan penegasan lafaz ALLAH menjadi saksinya.

“ Ada negeri yang memasukkan talak taklik, bukan bermakna merendahkan isteri, sebaliknya meninggikan kedudukan (isteri) sehingga dimasukkan bersama kecintaan kepada ALLAH walau pun tidak menyamainya,” katanya menerusi sebuah kenyataan.

Menurutnya, sahabat Nabi Muhammad S.A.W juga mengangkat sumpah dengan menggunakan nama ibu bapa bagi mengukuhkan ikrar dan janji yang dibuat.

“Maka lafaz bai’ah dalam parti yang berjuang menegakkan Islam seperti Pas adalah beramal dengan Al-Quran, As-Sunnah dan Ijtihad para ulamak muktabar yang disahkan oleh Ahli Majlis Syura Ulamak yang sangat dihormati oleh semua pemimpin, ahli dan penyokong Pas yang istiqamah, walaupun pihak lain tidak berminat bukan sahaja bai’ahnya bahkan dasar Islamnya juga, sehingga ada pula yang meletakkan talak taklik mencerai isteri lebih utama daripada berjanji dengan ALLAH,” katanya lagi.

Dua bekas Adun Kelantan, Dr Hatta Ramli (Kuala Krai) dan Kamaruddin Jaafar (Tumpat) masing-masing dilaporkan meninggalkan Pas untuk menyertai Parti Amanah Negara dan PKR.

Ia sekaligus menyebabkan ramai pihak mempersoal kesahihan perkahwinan dua bekas Adun tersebut.

Menurut Abdul Hadi, sumpah yang diambil oleh ahli-ahli Pas adalah berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Bagaimanapun, kata beliau, tidak ada sumpah atau kerjasama politik boleh menggantikan kesetiaan kepada perjuangan Islam.

"Pas telah merasai kekalahan dalam pilihan raya beberapa kali tetapi kami tetap menang dalam iman teguh kami untuk berjuang untuk membina sebuah negara yang mengikut ajaran ALLAH,” katanya lagi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud