ARTIKEL SEBELUM

28/08/15

'Umno' saman Najib, tuntut balik AS$650j

EKSKLUSIF Keadaan menjadi semakin panas dalam Umno, apabila seorang anggota yang mendakwa mewakili parti, memfailkan saman terhadap Presidennya, Datuk Seri Najib Abdul Razak, untuk mendapatkan kembali sebahagian daripada RM2.6 bilion yang diakwa sumbangan derma untuk parti itu yang dikatakan telah dipindahkan ke luar negeri.

Sebahagian besar daripada dana itu, yang mana Wall Street Journal, mendakwa telah didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib, didakwa dipindahkan ke Singapura dua tahun lepas.

Umno, melalui seorang pemimpin akar umbinya, telah menamakan Najib dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusof sebagai defendan dalam saman yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Ahli Umno itu mendakwa bahawa tindakan undang-undang itu diambil untuk kepentingan dan bagi pihak parti tersebut dan ahli-ahlinya.

AS$650 juta itu dikatakan baki daripada jumlah asal AS$681 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Pemindahan itu berlaku sekitar 30 Ogos 2013, hari yang sama Najib menutup akaun tersebut, seperti yang didakwa oleh Sarawak Report.




Difahamkan saman itu difailkan hari ini selepas tiada tindakan didakwa diambil terhadap aduan yang dibuat terhadap Najib, kepada lembaga disiplin.

Ahli Umno itu memohon injunksi terhadap Najib dan Abdul Rauf atau ejen dan/atau pekerja dalam lembaga disiplin, Majlis Tertinggi, badan perhubungan negeri,bahagian, dan cawangan, supaya dihalang daripada membuang, menggugurkan, menggantung dan/atau mengambil sebarang disiplin terhadapnya sementara menunggu pelupusan kes itu.

Beliau juga memohon pembayaran balik berjumlah AS$650 juta - jumlah yang dilaporkan didepositkan oleh Najib ke dalam sebuah akaun di bank Singapura - dan sebuah akaun dengan semua wang yang beliau telah terima dalam bentuk derma.

Turut dituntut ialah butir-butir mengenai semua wang dalam AmPrivate Perbankan - No Akaun 2112022009694 - yang didakwa milik Najib, bersama-sama dengan ganti rugi, kos dan relif lain.

Dalam pernyataan kenyataan tuntutan yang dilihat oleh Malaysiakini, ia menyatakan bahawa Umno, yang tertakluk bawah Akta Pertubuhan 1966, ditadbir oleh perlembagaan parti.

Parti itu ditadbir oleh Majlis Tertinggi, yang terdiri daripada anggota yang dipilih dan dilantik oleh parti, dan badan pengawasan terdiri daripada lembaga disiplin dan badan perhubungan Umno negeri.

Dokumen tersebut menyatakan bahawa antara 21 Mac dan 25 Mac 2013, AS$680,999,976 (RM2.6 bilion) masuk ke dalam dua akaun peribadi Najib di Ambank, melalui Falcon Private Bank di Singapura.

Dinyatakan bahawa RM2.6 bilion itu adalah sumbangan yang dibuat kepada Najib untuk kegunaan dan faedah Umno dan Najib mengakui menerima jumlah itu dan bukan benefisiari peribadi kepada wang itu.

Menurut pernyataan tuntutan, Najib secara terbuka menyatakan bahawa RM2.6 bilion itu adalah sumbangan derma daripada dermawan Timur Tengah yang tidak dinamakan.

Ia juga berkata Majlis Tertinggi Umno menyatakan Najib telah dilantik sebagai pemegang amanah bagi Umno dan bahawa ia telah menerima jumlah wang yang besar daripada presiden parti, yang berasal dari akaunnya.

Oleh itu, pernyataan tuntutan itu menyatakan Najib memegang RM2.6 bilion sebagai pemegang amanah dan kegunaan Umno.

Penyataan tuntutan juga seterusnya mendakwa bahawa Umno dan dengan itu, Najib, dikawal oleh Akta Pertubuhan dan perlembagaan parti.

Ia menyebut bawah seksyen 14(d) akta tersebut, Umno perlu menyediakan akaun teraudit setiap tahun kewangan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Tahun kewangan Umno adalah dari 1 Januari hingga 31 Disember setiap tahun, dan wang kepunyaan Umno hendaklah disimpan di bank perdagangan atau simpanan.

Sebagai plaintif, beliau menyatakan bahawa Najib sebagai pemegang amanah, telah melanggar perlembagaan Umno, peruntukan Akta Pertubuhan, dan common law sebagai pemegang amanah.

Beliau seterusnya berkata jumlah RM2.6 bilion itu tidak ada dalam akaun Umno yang telah diaudit bagi tahun kewangan 2013 dan 2014.

Ia juga mendakwa bahawa sebahagian daripada RM2.6 bilion itu telah dipindahkan ke satu akaun bank di Singapura pada 30 Ogos 2013.

Akaun bank dikatakan bukan milik Umno. Najib juga didakwa tidak memaklumkan atau mengisytiharkan jumlah RM2.6 bilion itu kepada Umno.

Pernyataan tuntutan itu menyebut bahawa Najib telah membayar atau mengeluarkan daripada parti itu sejumlah asal wang berjumlah AS$650 juta, dan ini adalah pelanggaran secara langsung Perlembagaan Umno.

Ia juga mendakwa bahawa presiden Umno itu telah menggunakan atau menyimpan sebahagian wang yang bagi faedahnya sendiri dan tanpa mengambil kira Umno.

Dengan sebab itu, penyataan tuntutan mendakwa Najib telah bertindak dengan pecah amanah dan kepercayaan yang diletakkan kepadanya sebagai pemegang amanah Umno.

Untuk ini, beliau berkata presiden Umno dan Majlis Tertinggi telah bertindak ultra vires (di luar kuasanya) dalam perlembagaan parti itu dan telah melakukan penipuan.

MT tak sedia bertindak

Anggota Umno itu seterusnya menyatakan bahawa oleh kerana Najib didakwa pesalah yang mengawal parti, maka parti itu bukan dalam kedudukan untuk membuat tuntutan untuk faedahnya sendiri terhadap Najib.

Ia juga berkata bahawa Majlis Tertinggi tidak berupaya atau tidak bersedia untuk mengambil tindakan terhadap presiden Umno berikutan kuasa dan pengaruhnya ke atas parti.

Perwakilan Umno Langkawi itu seterusnya mendakwa lagi Najib telah menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri apabila menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kekal sebagai timbalan presiden parti.

Anggota Umno itu berkata akibat daripada kedudukan dan kuasa Najib, dan juga cara bagaimana Umno ditadbir oleh Majlis Tertinggi, jawatankuasa perhubungan negeri, bahagian dan cawangan, tidak akan menyaman atau meminta akaun RM2.6 bilion.

Tindakan undang-undang ini adalah yang kedua yang dihadapi oleh Najib atas kapasiti peribadinya.

PKR dan beberapa anggota pembangkang telah memfailkan saman terhadap Najib, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, 1MDB, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang dikaitkan dengan derma RM2.6 bilion itu.

Najib mendakwa wang itu adalah sebahagian daripada sumbangan politik untuk digunakan bagi pilihan raya umum ke-13.-Mkini

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud