Kuala Lumpur – Kebanyakan serpihan yang ditemui di Maldives bukan milik pesawat Malaysia Airlines MH370, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
“Kebanyakan serpihan itu negatif. Serpihan itu tiada kaitan dengan MH370 dan ia bukan bahan pesawat,” katanya kepada pemberita pada satu majlis di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.
Liow berkata ini adalah berdasarkan laporan diterima daripada pasukan Malaysia yang dihantar ke Maldives bagi meneliti serpihan yang ditemui di pulau berkenaan.
“Kita akan menunggu kepulangan mereka. Jika ada sebarang serpihan yang dibawa balik, mereka akan menyerahkannya kepada pasukan penyiasat antarabangsa,” katanya.
Pasukan penyiasat Malaysia dihantar ke Maldives Selasa lepas, untuk mengesahkan sama ada objek itu dipercayai sebahagian daripada pesawat MH370 yang hilang dari radar pada Mac tahun lepas.
Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang pada 8 Mac 2014.
Pada 6 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370 yang hilang itu.