Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata walaupun Umno memerintah negara ini sejak merdeka, terdapat lagi bangsa Melayu yang bangsat.
Ini kerana, katanya, bangsa Melayu hanya layak membeli rumah murah dan mampu milik berbanding bangsa lain.
"Walaupun Umno dah memerintah sejak merdeka, ada lagi Melayu yang bangsat. Faham tak?
"Pada saya sekarang ini pun orang Melayu dah bangsat sebab orang Melayu yang layaknya rumah murah, PPR, rumah mampu milik.
"Tak boleh duduk di Seri Kembangan, TTDI, Mont Kiara dan pakai baju harga RM20,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Perkasa di Kuala Lumpur petang ini.
Ibrahim mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengejutkan masyarakat apabila berkata orang Melayu Islam akan "terbangsat" sekiranya Umno tidak lagi memerintah negara.
Bagaimanapun veteran Umno Tan Sri Sanusi Junid berkata bangsa Melayu tidak bangsat, sebaliknya pemimpin yang menjadikan Umno kalah adalah bangsat.
Ibrahim tidak bersetuju dengan perkataan Melayu 'bangsat' jika Umno kehilangan kuasa kerana ia tidak sesuai dengan apa yang disampaikan Najib sekalipun mempunyai mesej tersendiri.
"Perkataan tersebut adalah 'uncalled for' dan sekiranya Najib mengatakan bahawa kalau Umno dan BN kalah, keselamatan dan ekonomi negara terjejas adalah lebih tepat.
"Ia kerana Umno sudah mempunyai pengalaman berkongsi kuasa dengan parti-parti lain sejak 1957 dan parti pembangkang baru dua penggal bersama sudah berpecah," katanya.
Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan kenyataan Sanusi itu, Ibrahim berkata:
"Ya, saya memang selalu setuju dengan pandangan beliau (Sanusi)."