SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali hari ini menafikan telah memuat naik status berkaitan saranannya agar rakyat menggunakan air masjid atau surau jika tidak mampu membayar bil air.
Menurut Azmin, ‘tweet’ tersebut adalah palsu yang berniat jahat untuk mengelirukan rakyat.
‘Tweet’ palsu itu telah dikongsi secara meluas di laman Twitter.
“Petikan tweet berikut adalah palsu dengan niat jahat untuk mengelirukan rakyat,” katanya.
Paparan skrin itu menyebut, “naik tarif air demi kebaikan rakyat Selangor. Kepada yang tak mampu bayar bil air yang baru boleh guna air di masjid atau surau berdekatan.”
Kelmarin, Azmin berkata, rakyat Selangor berkemungkinan akan menanggung kenaikan tarif air pada masa akan datang setelah perjanjian utama penstrukturan industri air negeri itu dimuktamadkan termasuk pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi.
Menurutnya, kenaikan tarif itu mungkin difikirkan untuk jangka masa panjang mengikut jangkaan kos pengambilalihan yang ditanggung oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).