ARTIKEL SEBELUM

23/07/15

Taktik buli pembangkang hanya akan makan diri


SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tindakan menyenaraihitamkan dua pemimpin pembangkang,Tony Pua dan Rafizi Ramli daripada keluar negara hanya akan memakan diri.

Malah katanya, ia akan menimbulkan persoalan soal kecekapan Jabatan Imigresen yang begitu pantas menyekat dua pemimpin pembangkang ini namun individu yang disabitkan membunuh boleh ke Australia.

“Jabatan Imigresen telah mempamerkan kecekapan melaksanakan arahan atasan bagi menyenaraihitamkan beberapa tokoh pembangkang (Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Petaling Jaya Utara, Tony Pua) daripada keluar negara walaupun belum diheret ke mahkamah untuk apa-apa tuduhan yang konkrit.

“Ini menimbulkan persoalan bagaimana seorang yang telah disabit kesalahan membunuh boleh pula terlepas ke Australia memandangkan Imigresen negara boleh bertindak secekap ini?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa turut telah disenaraihitamkan daripada keluar negara oleh Jabatan Imigresen selepas menyemak statusnya di laman web jabatan itu apabila,Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dilaporkan telah ditahan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ketika dalam perjalanan ke Indonesia.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, tindakan menyekat pemimpin pembangkang daripada keluar negara itu hanya akan dilihat sebagai tindakan terdesak dan bermotifkan politik.

“Pas mengingatkan kerajaan bahawa taktik membuli pembangkang dengan cara ini hanya akan menyemarakkan lagi desakan dan keinginan rakyat untuk mengetahui kebenaran di sebalik semua dakwaan terhadap 1MDB dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Rakyat akan melihat tindakan sebegini sebagai terdesak dan bermotifkan politik apabila tiada sekatan dilakukan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri) pengkritik terhebat 1MDB, yang sudah terang-terang menjelaskan niatnya untuk menurunkan Najib sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut menyatakan bahawa perkara ini akan menambah lagi persepsi buruk terhadap kerajaan.

“Bukan itu sahaja, persepsi buruk pada kerajaan akan bertambah apabila rakyat melihat mereka yang terlibat dengan isu 1MDB seperti Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Penasihat 1MDB masih bebas bergerak ke seluruh dunia, manakala mereka yang membongkarnya dikenakan tindakan.

“Adalah lebih berfaedah dan menguntungkan kerajaan jika fokus dan bantuan dapat diberikan kepada pasukan siasatan khas untuk menyelesaikan misteri aliran tunai di sebalik 1MDB dengan kadar segera daripada terus melakukan tindakan yang menampar diri sendiri,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud