Datin Seri Rosmah Mansor mengakui akaun bank didedahkan laman pembocor maklumat merupakan miliknya yang dibuka pada 1984 akan tetapi menggesa tindakan diambil terhadap Sarawak Report.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan isteri perdana menteri itu melalui Firma Guaman Messrs Norhairan Mohd Noor Rosmah berkata, tindakan boleh diambil terhadap Sarawak Report mengikut Akta SKMM 1998 berhubung dakwaan sebanyak RM2 juta disalurkan ke dalam akaun peribadinya.
"SKMM digesa untuk mempertimbangkan kerana kandungan artikel tersebut menyinggung dan melanggar undang-undang Malaysia dan tindakan sewajarnya perlu diambil selari dengan Akta SKMM 1998 (Akta 588)," kata firma guaman tersebut dalam kenyataan dikeluarkan malam ini.
"Akaun bank yang dirujuk merupakan akaun peribadi anak guam kami. Ia dibuka pada 1984 ketika anak guam kami bekerja di Island & Penisular Sdn Bhd (sekarang ini dikenali sebagai I&P Group Sdn Bhd)."
Firma tersebut berkata lokasi syarikat tersebut dan Perwira Habib Bank Bhd (sekarang Affin Bank Berhad) terletak di bangunan sama dengan Wisma Equatorial, Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur
Sarawak Report semalam mendakwa Rosmah menerima deposit dengan jumlah keseluruhan RM2 juta, di antara 10 Februari dan 23 April tahun ini.
Menurut Sarawak Report, jumlah itu didakwa didepositkan seorang “pembantu peribadi” Rosmah bernama Roslan Sohari menerusi 8 transaksi ke dalam akaun Affin Bank milik “Rosmah Binti Mansor (Datin Seri)” di cawangan Bangunan Getah Asli Kuala Lumpur.
Rosmah turut menafikan melakukan sebarang kesalahan jenayah atau salah laku penyaluran dana berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) .
"Laporan itu dianggap sangat amat tidak wajar, mengancam salah dan berniat untuk menyinggung dan mengganggu anak guam kami."
Kenyataan itu juga membidas Ketua Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle Brown diatas penyiaran artikel salah terhadap Rosmah dan ianya bertentangan dengan etika kewartawanan.
Selain itu, firma guaman itu berkata, Rosmah mahu Bank Negara Malaysia (BNM)segera menjalankan siasatan dalam tempoh 72 jam berhubung kebocoran maklumat dan perlu segera melaporkan hasil siasatan itu berdasarkan kesalahan mendedahkan maklumat yang tidak dibenarkan.
"Pada pandangan anak guam saya kegagalan BNM untuk segera menjalankan siasatan boleh menghakis kepercayaan pelabur dan pengguna institusi kewangan.
"Ia pasti akan memberi persepsi negatif dalam peraturan institusi kewangan, pembayaran sistem dan entitit berkaitan (termasuk insurans), pasaran kewangan dan luar negara.
Menurut Rosmah, tindakan Sarawak Report itu sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan salah secara terang-terangan dengan artikel yang dianggap sebagai fitnah bertindak mencemar dan menjatuhkannya.
Malah ia juga dilihat sebagai usaha mengurangkan kredibiliti dan intergriti Rosmah sebagai isteri kepada perdana menteri Malaysia.- TMI