Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengelak berterus terang sama ada beliau akan menyertai kempen Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Muhyiddin, ini kerana, beliau masih lagi memegang jawatan timbalan presiden Umno dan timbalan pengerusi BN.
Bagaimanapun, katanya, pandangan Mahathir selaku bekas perdana menteri berhubung isu-isu semasa tidak boleh diketepikan.
"Apa saya akan lakukan pada masa akan datang ialah sebagai timbalan presiden Umno dan timbalan pengerusi BN. Itu ambil masa sikit. Memang selama ini timbalan perdana menteri adalah timbalan presiden parti.
"Soal sama ada saya satu platform dengan Tun itu tak berapa penting. Pandangan Tun tak boleh kita ketepikan dan beliau masih cergas untuk beri sumbangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini.
Timbalan presiden Umno seperti biasa
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kedudukannya sebagai timbalan presiden Umno akan terancam selepas pemecatan jawatan timbalan perdana menteri, Muhyiddin berkata perkara itu tidak akan berlaku memandangkan beliau telah lama bersama parti.
"Saya fikir tidak tergugat kerana saya bukan baru dalam parti. Timbalan perdana menteri itu tugas kerajaan, tugas parti saya tak abaikan.
"Saya hadir majlis mesyuarat tertinggi, menguruskan mesyuarat seperti biasa, merasmikan mesyuarat bahagian kalau dijemput," ujar ahli parlimen Pagoh itu.
Ditanya sama ada beliau boleh bekerjasama dengan Najib yang merupakan presiden Umno dan pengerusi BN, beliau berkata pemecatannya tidak membabitkan hal parti.
Katanya, sebagai timbalan presiden, sudah menjadi tugasnya untuk membantu presiden bagi mengukuhkan parti termasuk dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Berdasarkan perlembagaan, timbalan presiden perlu membantu presiden dan ahli majlis tertinggi lain melaksanakan tugas.
"Tanggungjawab mengurus parti saya akan terus laksanakan dan memastikan perjalanan setiap peringkat dibuat dengan baik termasuk untuk pilihan raya umum akan datang.
"Yang penting bukan saya tetapi parti dan masa depan rakyat dan negara. Saya akan laksanakan dan apa yang berlaku tidak akan mengganggu (parti)," katanya lagi.