ARTIKEL SEBELUM

22/07/15

DAP nafi beri dana kepada Harapan Baru


KUALA LUMPUR - Tidak timbul soal DAP kini giat mengagihkan dana kepada pihak tertentu khusus untuk tajaan kewangan bagi menubuhkan parti Gerakan Harapan Baru, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Beliau menegaskan parti itu sendiri memerlukan dana dan bersedia menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

"Kita perlukan dana. Siapa yang hulur tangan untuk derma, kita akan terima. Kita beri dana kepada sesiapa saja, isu ini tak bangkit.

"Persoalan yang timbul mengatakan DAP mengagihkan dana (kepada Harapan Baru) tidak timbul lagi kerana kita sendiri memerlukan dana," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri di pekarangan Parlimen, di sini, hari ini.

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang mengatakan penubuhan parti Islam baharu itu dipercayai ditaja sepenuhnya oleh DAP selepas Pas memutuskan hubungan dengan parti itu pada Jun lalu.

Harapan Baru yang dipelopori oleh kumpulan progresif Pas yang ditewaskan pada Muktamar Pas Pusat lalu dikatakan sealiran dengan DAP apabila membawa agenda Pakatan Rakyat 2.0 dan membawa imej Islam sederhana.

Sementara itu, Kit Siang selaku Ahli Parlimen Gelang Patah juga berkata penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 masih di peringkat perbincangan bagi menggantikan kerjasama politik itu yang berkubur sejak Muktamar Pas lalu.

"Ada keperluan kepada kenderaan baharu supaya dapat membawa harapan dan aspirasi rakyat.

"Kita sudah bincangkan tentang kenderaan baharu ini sama ada Pakatan baharu atau PR 2.0 ataupun Harapan Rakyat. Ia masih dalam proses (perbincangan)," katanya lagi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud