ARTIKEL SEBELUM

3/07/15

Dakwaan WSJ, penafian sahaja tidak cukup


SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan penafian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), polis mahupun kerajaan tidak mencukupi untuk menghalang persepsi negatif terpalit kepada imej negara susulan laporan portal berita asing, hari ini.

Menurutnya, Najib perlu mengambil langkah strategik dengan mengisytiharkan hartanya bagi membersihkan nama beliau sebagai pemimpin negara.

“Dakwaan terbaharu oleh Wall Street Journal hari ini memerlukan perhatian segera.

Penafian melalui kenyataan Perdana Menteri, 1MDB, polis mahupun Putrajaya sudah tidak mencukupi untuk menghalang persepsi negatif daripada merebak berterusan.

“Pas menggesa Najib mengambil langkah strategik iaitu melakukan pengisytiharan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan beliau bersama isterinya untuk membersihkan nama segera. Bank-bank yang dinamakan perlu dijadikan saksi dalam pengisytiharan harta ini supaya ia nampak telus dan berwibawa.

“Langkah mengisytiharkan harta ini dilihat jauh lebih efektif untuk menangkis tuduhan terhadap Najib pada kali ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

WSJ melaporkan hampir AS$700 juta disalurkan 1MDB ke dalam lima akaun peribadi didakwa milik Najib yang berasingan pada Mac 2013.

Sementara itu, 1MDB dalam kenyataannya hari ini menafikan dakwaan tersebut.



Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap 1MDB dipercepatkan.

“Pas mencadangkan agar Putrajaya mempercepatkan sidang PAC dengan pegawai tertinggi 1MDB dengan segera. Jika 1MDB tiada masalah besar yang mencurigakan, sudah tentu PAC tidak akan menjumpai apa-apa masalah. Ini adalah medan terbaik Najib dan 1MDB membersihkan diri dan menutup para pengkritiknya.

“Sehingga itu berlaku, Putrajaya dinasihatkan jangan memburukkan keadaan lagi dengan tindakan-tindakan yang mencurigakan seperti menjadikan Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1MDB sebagai laporan eksklusif, menuntut penjelasan daripada The Edge daripada menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan mengenai 1MDB, cubaan membuang ahli PAC dan juga perbezaan ketara tindakan agensi kerajaan bertindak terhadap tuduhan terhadap 1MDB dan juga mereka yang menuduh 1MDB,” katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud